P’raya PBT: Pandangan Presiden PAS, PM sama

DI DALAM temubual Bicara Minda anjuran Sinar Harian pada 22 Oktober 2018, YAB Perdana Menteri dipetik berkata: “Kalau kita ada pilihan raya bagi bandar dan luar bandar, maka kita pecahkan negara kita kepada dua pihak iaitu satu bandar dan satu lagi luar bandar. Kita nak supaya ada ‘interplay‘ antara bandar dan luar bandar. Masa belum tiba yang mana penduduk kita bercampuran dengan cara terbaik.”

Advertisement

Pendirian Perdana Menteri dalam isu pilihan raya kerajaan tempatan (PBT) dilihat senada dengan pendirian Presiden PAS sejak sekian lama, khususnya dalam aspek menjaga keharmonian kaum dan kepentingan saling kaitan (interplay) antara bandar dan luar bandar.

Inilah pemahaman konsep masyarakat madani yang disebut oleh Presiden PAS dalam artikel beliau, “Pembangunan Bandar Masyarakat Madani” bertarikh 23 Januari 2015, antaranya:

1. Keperluan hidup bermasyarakat mewajibkan wujud pertemuan berbagai kelompok manusia dari berbagai latar belakang untuk mengumpulkan keperluan asasi bagi kehidupan diri, keluarga dan masyarakat umum.

2. Ibnu Khaldun (1332M-1406M), yang bergelar bapa ilmu “sosiologi – historiogafi – ekonomi” tersohor di seluruh dunia menegaskan lagi, “Bahawa bandar yang dibangun dan dihidupkan juga oleh masyarakat luar bandar dikelilingnya, dan semua pihak yang membekalkan bandar itu menjadi hidup dan maju”.

3. Dalam aspek ekonomi pendekatan liberal kapitalisma didapati menzalimi orang miskin sehingga menimbulkan pertembungan kelas taraf kehidupan yang boleh menimbulkan ketegangan dalam hidup bermasyarakat.

4. Dalam aspek politik mengendalikan bandar, wajib kita mengambil kira semua pihak dan lapisan yang memakmurkan bandar itu. Maka pilihan raya Majlis Perbandaran seperti yang diperjuangkan oleh DAP adalah kembali kepada kesilapan, kerana hanya melihat kepada aspek penduduk bandar sahaja untuk menang pilihan raya dalam jangka yang sangat pendek.

5. Apatah lagi apabila kita melihatnya dari aspek perkauman yang boleh mencetuskan jurang dan polarisasi serta ketegangan di antara penduduk bandar yang bermajoriti kaum Cina yang sangat besar.

6. Bandar wajib diurus bukan sahaja pembangunannya, bahkan penduduknya, begitu juga penduduk keliling yang terlibat memakmurkannya, yang menjadi laksana darah yang mengalir ke dalam jasadnya.

Ternyata pendirian TGHH lebih matang dan terkehadapan dalam isu yang kompleks ini, demi menjaga kerukunan hidup, kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi dalam negara.

Syahir Sulaiman
Pengarah Strategi DPPM
23 Oktober 2018 – HARAKAHDAILY 23/10/2018