Federalisme: ‘Kita bukan minta sedekah’

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pusat perlu memberi hak kepada Kerajaan Kelantan kerana itu merupakan tanggungjawab Pusat, kata Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Advertisement

Beliau berkata, Kerajaan Pusat perlu sedar dalam konsep federalisme Kelantan juga sebahagian daripada federalisme yang diamalkan.

“Di mana rakyat Kelantan juga membayar cukai. Cukai kenderaan, cukai pakaian dan cukai makanan. Bayar semua cukai.

“Semua cukai ini diambil oleh kastam yang berada di bawah Kerajaan Pusat. Kelantan ada hasil bumi yang Kerajaan Pusat ambil. Begitulah kewajipan Kerajaan Pusat kena bayar balik kepada kerajaan negeri kerana itu tanggungjawab, kita bukan minta sedekah,” katanya yang juga Ahli Parlimen Marang dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Menurutnya, berlaku kekangan pada masa dulu, apabila sengaja melambatkan geran yang patut dibayar kepada kerajaan negeri.

“Pernah dulu patut bayar bulan Mac, bulan Ogos dua kali. Sengaja dibayar bulan November. Jadi Kelantan tidak dapat bayar gaji. Ini sengaja.

“Isu ini sudah diselesaikan oleh kerajaan BN masa mutakhir dia (BN) tunai dengan baik. Dia baiki balik,” ujarnya.

Justeru, beliau mengharapkan kerajaan baharu PH sekarang akan memperbaiki dengan cara yang lebih baik terhadap tanggungjawab kepada Kerajaan Kelantan khusus dalam aspek royalti.

“Kelantan berhak mendapat royalti bukan sahaja Terengganu, Sabah dan Sarawak. Jangan bayar Sabah dan Sarawak sahaja. Kelantan, Terengganu tidak diberi atau diberi dengan cara yang lambat. Saya difahamkan berlaku biokrasi di Kementerian Kewangan,” katanya.

Menurutnya, setiap negeri mempunyai hutang bukan hanya Kerajaan Kelantan sahaja.

Tambahnya, Kelantan mampu membayar hutang secara berperingkat dan boleh mentadbir urus negeri sehingga memasuki pemerintahan tahun ke-28. – HARAKAHDAILY 24/10/2018