Islam tiada kaitan dengan pembunuhan Jamal Khashoggi

PERISTIWA pembunuhan kejam terhadap wartawan Saudi, Jamal Khashoggi sangat memalukan seluruh manusia. Lebih malang kalau pelakunya mengaku Islam, jika benar dilakukan.

Advertisement

Islam mengharamkan cara bunuh yang kejam walaupun terhadap yang disabitkan hukuman mati.

Islam juga mengharamkan mayat diseksa walaupun musuh yang telah dibunuh dalam medan peperangan yang paling kejam terhadap penganut Islam sendiri. Apatah lagi menyeksa orang yang masih hidup.

Firman Allah:

وَقَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا ۚ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ (190(

“Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah terhadap orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak mengasihi kepada orang-orang yang melampau”.(Surah Al-Baqarah: 190)

Rasulullah S.A.W. berpesan kepada para panglima dan bala tentera Islam dengan sabdanya:

اغْزُوا وَلَا تَغُلّوا، وَلَا تَغْدروا، وَلَا تُمَثِّلُوا، وَلَا تَقْتُلُوا وَلِيدًا، وَلَا أَصْحَابَ الصَّوَامِعِ”. رَوَاهُ الْإِمَامُ أَحْمَدُ.

“Berperanglah (menghadapi musuh yang mencerobohi kamu), jangan khianat, jangan melanggar perjanjian, jangan mencincang musuh yang sudah mati, jangan membunuh wanita dan kanak-kanak, dan juga mereka yang berada di rumah ibadat agama mereka. (ditambah lagi dalam riwayat yang lain, termasuk mereka yang tidak terlibat dengan peperangan). (Riwayat Imam Ahmad dalam Musnadnya)

Islam turut mengharamkan penyeksaan binatang, apabila Rasulullah S.A.W. menegaskan:

“Seorang wanita dimasukkan ke dalam neraka kerana mengurung seekor kucing tanpa makanan sehingga mati”. (Riwayat Imam Al-Bukhari)

Rasulullah S.A.W. juga menceritakan:

“Seorang lelaki yang musafir kehausan menemui telaga lalu turun ke dalamnya untuk mendapatkan air minum. Apabila memanjat keluar daripada telaga, tiba-tiba terdapat seekor anjing kehausan sehingga menjilat tanah, lalu dia turun semula ke dalam telaga yang sangat dalam di padang pasir itu. Dia mengambil air dengan di masukkan ke dalam sepatunya lalu menggigit sepatu itu dan memanjat kembali untuk memberi minuman kepada anjing tadi. Maka Allah mengurniakan rahmat kepadannya”. (Riwayat Imam Muslim)

Islam mengajar memberi minum kepada anjing kehausan yang najis mughallazah, mendapat pahala dan rahmat Allah. Maka manusia yang membunuh tanpa sebab yang diizinkan oleh hukum Islam dan ditambah pula dengan tindakan ganas memotong dan menceraikan jasad itu, menunjukkan tidak ada sifat Islam di dalam dirinya, bahkan dianggap tidak berperikemanusiaan oleh sesiapa sahaja tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit.

Maka seluruh Dunia Timur dan Barat yang berperikemanusiaan mengutuknya, dan umat Islam sepatutnya paling terkehadapan dalam mengutuk tindakan kejam ini, walaupun siapa yang melakukannya atau yang melakukannya paling dekat dengan Kaabah yang menjadi kiblat umat Islam.

Allah berfirman:

مِنْ أَجْلِ ذَٰلِكَ كَتَبْنَا عَلَىٰ بَنِي إِسْرَائِيلَ أَنَّهُ مَن قَتَلَ نَفْسًا بِغَيْرِ نَفْسٍ أَوْ فَسَادٍ فِي الْأَرْضِ فَكَأَنَّمَا قَتَلَ النَّاسَ جَمِيعًا وَمَنْ أَحْيَاهَا فَكَأَنَّمَا أَحْيَا النَّاسَ جَمِيعًا ۚ وَلَقَدْ جَاءَتْهُمْ رُسُلُنَا بِالْبَيِّنَاتِ ثُمَّ إِنَّ كَثِيرًا مِّنْهُم بَعْدَ ذَٰلِكَ فِي الْأَرْضِ لَمُسْرِفُونَ (32)

“Bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya. Dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya. Dan demi sesungguhnya, telah datang kepada mereka Rasul-rasul Kami dengan membawa keterangan yang cukup terang. Kemudian, sesungguhnya kebanyakan dari mereka sesudah itu, sungguh-sungguh menjadi orang-orang yang melampaui batas (melakukan kerosakan) di muka bumi”. (Surah Al-Maa’idah: 32)

Al-Quran menegaskan betapa besarnya dosa membunuh tanpa sebab yang diizinkan oleh undang-undang syariat, sehingga termasuk dalam dosa besar dan akibatnya di hukum dunia dan akhirat.

“Islam Memimpin”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 24 Oktober 2018 / 14 Safar 1440 – HARAKAHDAILY 24/10/2018