JKKK muncul di Kelantan selepas BN kalah

KOTA BHARU: Kewujudan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Kelantan perlu mengambil kira sejarahnya kerana sudah ada institusi penghulu di Kelantan.

Advertisement

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, MPKK merupakan satu badan yang dijenamakan semula daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Menurutnya, jawatankuasa itu diperkenal di Kelantan pada 1991 selepas Umno dan Barisan Nasional mengalami kekalahan Pilihan Raya Umum (PRU) 1990 dan Terengganu (1999).

“Langkah yang dilakukan Umno itu sekali lagi ditiru Pakatan Harapan dengan menubuhkan MPKK di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

“Kami sudah mengenali gerak kerja Umno, buat apa lagi Pakatan Harapan hendak meneruskan apa yang dilakukan Umno di Kelantan sebelum ini,” katanya di sini.

Baru-baru ini Pengerusi PH Kelantan, Dato’ Husam Musa dilapor memberitahu seramai 12,672 orang akan dilantik menganggotai MPKK Kelantan yang bakal berkuatkuasa 1 Januari depan.

Daripada jumlah tersebut, seramai 3,960 orang merupakan lantikan kerajaan persekutuan dan selebihnya kerajaan negeri. – HARAKAHDAILY 24/10/2018