Pilihan Raya PBT: DAP sedia tendang PPBM?

KUALA TERENGGANU: Pandangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengenai isu Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (PBT) adalah tepat dan sesuai dengan realiti politik semasa negara.

Advertisement

Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri Terengganu, Mohd Alghazali Abu Bakar berkata, realiti taburan penduduk mengikut pecahan bangsa tidak akan memberikan kesamarataan kepada pentadbiran sesebuah kerajaan tempatan.

Bahkan tegasnya, jauh lebih bahaya adalah akan wujudnya pemisahan kaum yang semakin serius, sekali gus juga terhadap jurang ekonomi, pekerjaan dan kependudukan terus menjadi kian tidak sama rata.

Menurutnya, Pilihan Raya PBT juga tidak perlu kerana Ahli-ahli Majlis tidak terlibat dengan penggubalan undang-undang bagi sesuatu perbandaran, sebaliknya adalah pelaksana kuasa pentadbiran dan pengurusan.

“Ia tidak memerlukan kuasa pilihan raya bagi melantik Ahli Majlis, tetapi sesuai dengan lantikan berasas kelayakan dan kepakaran masing-masing. Sekiranya diadakan pilihan raya, mereka yang menang tidak mesti dari kalangan penyokong kerajaan negeri, bahkan mungkin tidak berparti.

“Jika ini berlaku, maka kebarangkalian rancangan pelaksanaan dasar-dasar Kerajaan Negeri yang ditetapkan bagi bandar-bandar tertentu tidak dapat dijayakan kerana Ahli Majlis tidak sehaluan. Ia akan menyusahkan banyak pihak dan paling terkesan adalah rakyat kerana sikap politik melampau-lampau setengah pihak.

“Ini akan membantutkan serta tidak mencapai matlamat kepada hasil yang disasarkan. Sudah pasti juga proses lantikan lebih jimatkan kos berbanding pilihan raya, selain faktor masa dan keharmonian,” hujahnya.

Alghazali juga mahu melihat sejauh mana keberanian DAP dan komponen lain dalam PH untuk bertindak mengeluarkan PPBM daripada gabungan mereka setelah Tun menolak idea Pilihan Raya PBT itu.

PAS adalah yang paling awal menyatakan bantahan berhubung usaha DAP untuk mengadakan Pilihan Raya PBT di mana bakal memberi kesan kepada sosioekonomi dan keharmonian kaum di negara ini. – HARAKAHDAILY 24/10/2018