Premium, cukai Pusat RM275 juta

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menjelaskan permohonan pendahuluan boleh dituntut yang diberi kerajaan persekutuan bagi menampung keperluan aliran tunai di negeri-negeri yang memerlukan.

Advertisement

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, perkara itu merupakan amalan biasa dalam sistem persekutuan.

Katanya, pada hakikatnya hasil kerajaan negeri daripada punca hasil tanah, hutan dan mineral sudah mencukupi untuk menampung pembayaran emolument dan gaji kakitangan awam.

“Permohonan pendahuluan boleh dituntut oleh kerajaan Kelantan mempunyai sandaran dan asasnya iaitu bayaran premium dan cukai oleh kerajaan pusat berjumlah RM275 juta.

“Bayaran itu melibatkan premium Institut Pendidikan Guru, premium Felda dan baki cukai tanah Pesuruhjaya Tanah Persekutuan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Kota Darulnaim hari ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam kenyataan semalam menyebut Kelantan menerima pemberian (geran) Kerajaan Persekutuan sebanyak RM398 juta termasuk RM59.9 pemberian defisit kerana kerajaan negeri itu tidak mempunyai hasil mencukupi untuk perbelanjaan termasuk gaji kakitangan awam.

Di parlimen petang ini anggota parlimen Pasir Mas, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, adalah tidak adil bagi menteri mengungkit bantuan kepada Kelantan sahaja.

Sedangkan katanya, bantuan serupa diberi kepada negeri-negeri lain. – HARAKAHDAILY 24/10/2018