Jabatan Kehakiman Syariah T’ganu rangkul Anugerah Emas

SAYA menerima berita menerusi aplikasi WhatsApp daripada YAA Tuan Haji Wan Mohd Zakri bin Wan Mohd, Ketua Hakim Syarie Negeri Terengganu bahawa Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Terengganu telah mendapat Gold Award dalam pertandingan Kumpulan Kreatif dan Inovatif (KIK) di Program International Convention on Quality Control Circle (ICQCC) di Singapura yang berlangsung pada 22 hingga 25 Oktober 2018.

Advertisement

Mewakili kerajaan Negeri Terengganu, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Terengganu.

Kejayaan ini membuktikan bahawa Jabatan Kehakiman Syariah mampu menghasilkan inovasi melalui perkhidmatan awam bagi menyelesaikan atau memenuhi keperluan masyarakat sehingga mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Lebih membanggakan kejayaan ini merupakan kemenangan yang keenam diperoleh oleh Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Terengganu sepanjang penyertaannya dalam ICQCC semenjak tahun 2013.

Antara anugerah yang telah dimenangi ialah Excellent Award pada tahun 2013 di Taiwan, Gold Award pada tahun 2014 di Tokyo, Silver Illumination pada tahun 2015 di Korea, Gold Award pada tahun 2016 di Thailand dan Gold Award pada tahun 2017 di Filipina.

Diharap kemenangan ini dapat menggalakkan kreativiti dan pemikiran inovatif dalam perkhidmatan awam di semua agensi dan jabatan lain agar sentiasa berdiri teguh mendepani cabaran ke arah mewujudkan Terengganu yang maju, berkat dan sejahtera.

Dr Ahmad Samsuri bin Mokhtar
Menteri Besar Terengganu
25 Oktober 2018 – HARAKAHDAILY 25/10/2018