Kanser payudara: Faktor berisiko dan gejala

APA itu kanser? Mungkin inilah persoalan yang bermain-main di minda kebanyakan dalam kalangan kita orang awam. Tidak dinafikan, ramai dalam kalangan orang awam memahami kanser itu dengan makna apa saja ketumbuhan yang berlaku di badan kita. Sedangkan definisi kanser dari perspektif perubatan itu berbeza daripada perspektif dan pemahaman orang awam.

Advertisement

DR ZAILANI MOHDDalam ilmu perubatan, ketumbuhan atau ‘tumor’ adalah penyakit yang disebabkan oleh pertumbuhan sel-sel yang tidak terkawal dan tidak normal di dalam badan. Ketumbuhan ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu ketumbuhan yang bukan kanser serta tidak merebak (benign) dan ketumbuhan kanser yang berbahaya serta boleh merebak kepada organ-organ lain (malignant).

Ketumbuhan yang tidak berbahaya (benign) contohnya lipoma (ketumbuhan pada lemak di badan) hanya boleh membesar tetapi tidak boleh merebak jauh melibatkan organ-organ lain dalam badan. Akan tetapi ketumbuhan kanser yang boleh membahayakan nyawa penghidapnya seperti kanser payudara ini boleh membesar dan merebak jauh melibatkan organ-organ yang lain seperti hati, paru-paru, tulang dan lain-lain organ badan.

Jika kanser ini tidak dirawat dan tidak dikesan pada peringkat awal, maka kesembuhannya sangat rendah dan jangka hayat seseorang juga akan menurun bergantung pada tahap kanser payudara tersebut semasa ianya dikesan.

Siapakah yang berisiko?

Mungkin dalam kalangan kita orang awam hanya menggangap bahawa kanser payudara ini hanya berlaku dalam kalangan perempuan sahaja. Sebenarnya anggapan ini adalah tidak benar, kerana orang lelaki juga boleh menghidap penyakit kanser payudara. Statistik daripada kajian menunjukkan kurang 1 peratus daripada keseluruhan penghidap kanser payudara adalah berlaku dalam kalangan lelaki.

Di samping itu, faktor-faktor lain yang boleh mendatangkan risiko yang tinggi untuk mendapat kanser payudara terutamannya dalam kalangan perempuan adalah:

1) Umur

Risiko kanser payudara akan meningkat dengan peningkatan umur seseorang. Pesakit yang lebih tua atau berumur 40 tahun ke atas secara kajiannya mempunyai kebarangkalian yang lebih tinggi untuk mendapat kanser payudara berbanding mereka yang di usia muda.

2) Sejarah keluarga

Golongan wanita yang mempunyai ibu atau adik beradik perempuan yang menghidap kanser payudara mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat kanser payudara berbanding dengan golongan wanita yang tidak mempunyai sejarah kanser payudara dalam keluarga mereka. Kajian juga menunjukkan mereka yang mempunyai warisan mutasi genetic BRCA1 dan BRCA2 juga memiliki risiko yang tinggi untuk mendapat kanser payudara pada masa hadapan.

3) Bagi golongan yang pernah menghidap kanser payudara dan telah mendapat rawatan yang sepenuhnya serta sudah bebas dari kanser payudara masih lagi mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat kanser payudara pada sebelah payudara yang normal. Di samping itu, golongan yang pernah menghidapi penyakit ketumbuhan benign (tumor bukan kanser) payudara juga mempunyai risiko untuk menghidap kanser payudara.

4) Faktor reproduktif (pembiakan)

Di antara faktor reproduktif yang menyumbang kepada risiko kanser payudara adalah:

– Perempuan yang datang haid awal seawal umur kurang dari 12 tahun

– Perempuan yang putus haid lewat lebih dari umur 55 tahun

– Perempuan yang berumur lebih daripada 30 tahun dan tidak pernah mengandung (nulliparous)

– Perempuan yang mengandung anak pertama berumur lebih daripada 30 tahun

– Perempuan yang tidak menyusu atau menyusu setiap anak-anaknya kurang daripada 12 bulan penyusuan

– Mereka yang mengambil pil kontraseptif juga mempunyai risiko untuk menghidap kanser payudara terutamannya yang mengambil sebelum mengandung anak yang pertama

5) Pendedahan kepada radiasi

Golongan yang mempunyai sejarah radiasi pada bahagian dada untuk penyembuhan kanser yang lain (contohnya kanser kelenjar limfa pada leher) yang dilakukan pada umur muda kurang daripada 20 tahun juga mempunyai risiko untuk mendapat kanser payudara.

Walaupun begitu, kajian menunjukkan radiasi yang disebabkan oleh ujian mammogram yang dilakukan untuk mengesan kanser payudara tidak mempunyai risiko untuk mendapat kanser payudara.

Apakah gejala awal dan tanda-tanda kanser payudara?

Kebiasaannya pesakit akan datang dengan gejala seperti biji ketumbuhan pada tisu payudara mereka. Biji ketumbuhan ini boleh dirasai dari sekecil saiz seperti biji kacang hijau sehinggalah ketumbuhannya memenuhi keseluruhan tisu payudara. Kebiasaannya biji ketumbuhan ini tidak sakit dan ia merupakan perubahan dan tanda utama bagi pesakit kanser payudara.

Sekiranya biji ketumbuhan ini dapat dikesan pada peringkat awal dengan saiz yang kecil maka rawatan serta penyembuhannya sangat bagus berbanding sekirannya ia dikesan pada peringkat akhir dengan saiz yang besar sehingga sudah melibatkan kulit payudara dan biji limpa sekitaran (bawah ketiak).

Di samping itu pesakit juga boleh datang ke hospital dengan gejala-gejala lain seperti:

– Lelehan pada puting payudara

Lelehan yang keluar dari puting payudara terutamannya yang bercampur dengan darah yang keluar secara spontan tanpa ransangan ataupun kesan dari kecederaan fizikal.

– Perubahan pada puting dan kulit payudara

Kadang-kadang pesakit kanser payudara boleh datang dengan gejala perubahan pada puting dan kulit payudara. Kebiasaannya ini adalah tanda-tanda kanser payudara itu sudah memasuki peringkat yang lebih merbahaya. Di antara perubahannya adalah seperti perubahan bentuk puting dan puting kelihatan tenggelam, kulit sekitar puting kelihatan berbintik-bintik merah (ruam) dan gatal, dan kulit pada payudara kelihatan seperti terbentuk lekukan kecil seakan-akan seperti kulit buah oren.

Ketumbuhan dan ulcer

Ini biasanya berlaku di peringkat lewat di mana sel-sel kanser sudah merebak ke kulit luar payudara. Ulcer atau kudis yang terbentuk biasanya berbau busuk dan kadang-kadang menyebabkan pendarahan yang banyak.

– Gejala kanser payudara yang sudah merebak

Pesakit kanser payudara yang sudah merebak jauh ke bahagian lain organ badan akan datang dengan gejala spesifik organ tersebut. Sebagai contoh, kanser yang sudah merebak ke paru-paru akan datang dengan gejala seperti batuk yang kronik, susah nafas dan sakit dalam dada. Manakala kanser yang merebak ke otak akan mendapat tanda-tanda seperti angin ahmar iaitu lumpuh, sawan atau tahap kesedaran berubah.

Adalah amat penting dalam kita mengetahui gejala-gejala ini serta golongan yang mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat kanser payudara agar kita dapat mengesan kanser ini di peringkat awal. Pengesanan kanser di peringkat awal ini akan lebih memudahkan rawatan dan memberi kesembuhan yang sangat tinggi.

Di samping itu, pengetahuan ini juga boleh meningkatkan kesedaran yang tinggi dalam kalangan kita orang awam agar objektif bulan kanser payudara yang disambut pada setiap tahun pada bulan Oktober akan tercapai. – HARAKAHDAILY 25/10/2018

Penulis ialah Pakar Bedah Klinikal di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu juga Naib Pengerusi 1 Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma) Terengganu.