Presiden PAS garis lima keutamaan

PRESIDEN PAS membahaskan Kajian Separuh Penggal RMK-11 dengan berteraskan firman Allah SWT dalam Surah al-Hajj ayat ke-41 (bermaksud): “Iaitu mereka yang jika Kami berikan kekuasaan memerintah di bumi, nescaya mereka mendirikan solat, serta menunaikan zakat, dan melaksanakan amar ma’ruf dan mencegah kemungkaran, dan bagi Allah jualah kesudahan segala urusan”

Advertisement

Berasaskan ayat tersebut, Presiden PAS yang juga merupakan Ahli Parlimen Marang telah menekankan aspek keutamaan yang perlu diberikan perhatian serius dalam membina sebuah negara yang sejahtera.

Pertama ialah kepatuhan kepada Allah.

Kedua, keberkatan dan keadilan ekonomi.

Ketiga, kepentingan negara berkebajikan.

Keempat, kehebatan penguatkuasaan undang-undang dan

Kelima ialah berwawasan dunia dan akhirat.

Huraian bagi setiap keutamaan tersebut dimuatkan dalam setiap tonggak Kajian Separuh Penggal RMK-11 (KSP RMK-11) yang telah digariskan oleh Kerajaan Persekutuan.

Bagi tonggak urus tadbir, Presiden PAS telah menekankan aspek integriti dan penghapusan rasuah.

Isu keparahan rasuah tidak boleh dibanteras menerusi penguatkuasaan undang-undang sivil sahaja, tetapi ia perlu dicegah dengan prinsip perundangan Syari’ah yang meliputi kesedaran awam terhadap dosa, pahala, akhlak dan nilai.

Selain itu, prosedur pencegahan rasuah juga perlu diperkemaskan dengan pengukuhan institusi dan akta SPRM selain proses perundangan yang adil untuk mengelakkan pendakwaan selektif.

Lanjutan itu, Presiden PAS turut menjelaskan elemen penting ekonomi sebagai pra syarat untuk menjana pertumbuhan yang lebih bermakna.

Elemen tersebut antaranya adalah penghapusan riba’, rasuah dan penipuan, galakan perkongsian keuntungan, kewajiban zakat dan pertimbangan unsur halal dan haram.

Islam tidak menyekat penciptaan kekayaan tetapi mestilah tidak manipulasi, monopoli dan menzalimi orang lain.

Tambahan lagi, bebanan kos sara hidup, peningkatan pendapatan dan peluang pekerjaan, keperluan projek infrastruktur mega mestilah mengutamakan kepentingan umum rakyat.

Presiden PAS juga turut menyinggung beberapa isu yang melibatkan pembangunan wilayah yang adil.

Beliau menyambut baik dan berterima kasih ke atas komitmen YAB Perdana Menteri untuk menyalurkan royalti Petroleum secara langsung kepada negeri Kelantan dan Terengganu.

Kementerian Kewangan juga diingatkan untuk mengurangkan karenah birokrasi dan tidak melewatkan pembayaran sehingga merencatkan perancangan pembangunan di kedua-dua negeri tersebut.

Terdapat juga isu-isu lain yang turut berlaku di peringkat negeri seperti meningkatkan pendapatan golongan petani, nelayan, pekebun dan peniaga kecil.

Cabaran ekonomi yang berlaku menyebabkan golongan ini tertekan dan perlukan pembelaan sewajarnya daripada pihak kerajaan.

Projek-projek sokongan yang lain seperti pemulihan infrastruktur dan mekanisme pemasaran perlu dibantu agar kehidupan asas rakyat tidak terjejas.

Bagi tonggak pembinaan modal insan, Presiden PAS sangat mementingkan isu kebejatan sosial yang perlu ditangani secara kolektif menerusi pendidikan bersifat rabbani dan insani.

Pihak media juga disaran untuk memainkan peranan yang konstruktif dalam membentuk peribadi masyarakat terutama dalam kalangan belia di samping pelaksanaan undang-undang yang lebih kepada aspek mendidik dan bukan menghukum.

Beliau turut mahu supaya perkembangan pendidikan tidak tertumpu kepada pencapaian di bilik darjah mahupun dewan kuliah semata-mata, tetapi mesti diperluaskan kepada kecerdasan mental, kemantapan spiritual, kekuatan emosi dan kecergasan fizikal.

Generasi muda bukan dibentuk hanya untuk memenuhi pasaran buruh sahaja sebaliknya membina jiwa kepimpinan untuk mewarisi masa depan negara.

Terakhir, Presiden PAS sekali lagi memberikan kredit kepada YAB Perdana Menteri di atas ketegasan ucapannya dalam persidangan PBB beberapa minggu yang lalu.

Malaysia disaran agar lebih cermat untuk berhadapan dengan perang dagang AS-China.

Malah, lebih penting daripada itu, pemimpin negara juga mestilah berusaha untuk menanggapi propaganda Islamophobia dalam kalangan negara Barat.

Langkah Pandang ke Timur mestilah diutamakan kepada koalisi ASEAN, OIC dan permuafakatan negara-negara berkecuali.

Islam Memimpin

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
16 Safar 1440 | 25 Oktober 2018 – HARAKAHDAILY 25/10/2018