Sambut baik Tun M ‘sekolahkan’ menteri

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad menyambut baik cadangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu ‘menyekolahkan’ menteri-menteri kabinet kerajaan Pakatan Harapan bertujuan mengubah persepsi minda daripada pembangkang kepada kerajaan.

Advertisement

“Kita sambut baik cadangan perdana menteri, memang perlu ‘disekolahkan’ lebih-lebih lagi bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang masih bertindak seperti pemimpin pembangkang, bukan pemimpin kerajaan.

“Kalau betul nak ‘sekolah’ menteri-menteri kabinetnya, saya sarankan biar menteri kewangan jadi ketua kelas kerana sikapnya suka bercakap dalam skop menggunakan neraca yang sama iaitu menghukum lebih-lebih lagi kepada negeri-negeri tadbiran pembangkang.

“Kita harapkan penyelesaian, rakyat sudah tentunya mengharapkan penyelesaian. Dengan ucapannya itu, melukakan rakyat Kelantan yang selama ini telah ditindas dan dinafikan hak mereka,” katanya kepada Harakahdaily, hari ini.

Katanya, Guan Eng mungkin cuba mengalihkan isu tragedi runtuhan Jalan Bukit Kukus yang mengorbankan banyak nyawa.

“Dia (Guan Eng) semakin ‘menjadi-jadi’ sikapnya kerana sokongan ahli-ahli parlimen Pakatan Harapan Melayu yang sering membela segala tindak-tanduknya, padahal apa yang dituntut oleh kerajaan Kelantan itu adalah hak mereka hak rakyatnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/10/2018