Kerajaan PH gagal tangani tanah runtuh

TRAGEDI tanah runtuh di Paya Terubong Pulau Pinang yang meragut 9 nyawa baru-baru ini bukti jelas kegagalan Kerajaan Pakatan Harapan dalam mendepani masalah tanah runtuh di negeri itu selepas 11 pekerja maut setahun yang lalu akibat tragedi yang sama di Tanjung Bungah.

Advertisement

Saya tertanya-tanya tidak adakah langkah pencegahan yang diambil Kerajaan Negeri serta agensi yang berkaitan sebelum ini untuk memastikan tragedi yang sama tidak berulang lagi?

Tidak adakah langkah pencegahan apabila 14 batang galang konkrit sepanjang 25 meter tumbang sebelum tragedi itu?

Lebih menghairankan apabila Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir Negeri, YB Zairil Khir Johari hanya menuding jari kepada pihak kontraktor kerana tidak mematuhi 4 garis panduan dari Pelan Kawalan Hakisan dan Kelodak (ESCP).

Persoalan pertama saya, ke mana pergikah penguatkuasaan dari pihak Kerajaan Negeri sepanjang kerja-kerja pembinaan sedang berjalan?

Persoalan kedua saya, adakah Kajian Impak Alam Sekitar dan lesen membina telah diluluskan? Dalam keadaan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) tidak menolak kemungkinan wujudnya aliran anak sungai selain permukaannya yang cengkung dan mudah menakung air, struktur tanah peroi dan beberapa plot dikenal pasti sebagai kawasan tambakan.

Persoalan ketiga saya, betulkah Kerajaan Negeri seperti yang dilaporkan media tidak mempunyai pelan pembinaan terhadap projek yang bernilai RM545 juta ini sedangkan pelan pembinaan adalah dokumen wajib yang perlu diserahkan kepada pihak berwajib seperti JAS dan MBPP sebelum kelulusan dikeluarkan. Lebih-lebih lagi untuk projek lebuh raya semahal ini.

Persoalan keempat saya, sejauh manakah kebenaran dakwaan NGO Penang Hill Watch bahawa hakisan tanah di lokasi itu bukan baru terjadi tetapi telah dilaporkan kepada pihak berkuasa tiga tahun yang lalu.

YB Zairil tidak sepatutnya menuding jari kepada kontraktor sahaja tetapi perlu mengakui kesilapan dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap tragedi itu dengan menilai semula keberkesanan Jawatankuasa Pembangunan Tanah Berisiko Negeri, memperbaiki aspek pengurusan dan penguatkuasaan MBPP serta pematuhan terhadap Garis Panduan Pembangunan Lereng Bukit Pulau Pinang 2012. 

(Penulis adalah Pengerusi Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar Dewan Muslimat PAS Pusat) – HARAKAHDAILY 27/10/2018