Mangsa kebakaran Kg Gas masih terabai

BATU SAPI: Bagaikan bola ditendang ke sana ke mari, itulah gambaran kehidupan mangsa kebakaran Kampung Gas apabila tidak mendapat pembelaan sewajarnya daripada pihak kerajaan.

Advertisement

Demikian kata Timbalan Pesuruhjaya III PAS Sabah, Sahar Abdul Majid ketika ditemui semasa lawatan beliau bertemu mangsa kebakaran Kampung Gas di Pangsapuri Pekerja Kilang Sinora dekat sini, kelmarin.

Penduduk yang ditemui ketika itu mengadu kerana sudah berlalu hampir empat bulan sejak kebakaran berlaku, namun mereka masih belum boleh membina rumah di kampung asal mereka yang sudah diwartakan sebagai perkampungan.

Difahamkan, mereka telah menghuni tiga buah pusat penempatan sementara iaitu yang pertama di Sekolah Kebangsaan Gas, diikuti di Dewan PPR Batu Sapi dan terkini di Pangsapuri Pekerja Kilang Sinora.

Dalam proses tersebut, kerajaan telah membina rumah berbentuk kabin kontena di padang Kampung Gas untuk dijadikan sebagai pusat penempatan sementara yang keempat bagi mangsa tersebut.

Mangsa-mangsa juga mendakwa ada kutipan dana yang dibuat untuk mereka yang terkumpul sejumlah wang yang besar hasil sumbangan orang ramai serta NGO namun tidak tahu sejauh mana ia digunakan untuk kepentingan mangsa.

Sehubungan itu, Sahar yang hadir bersama Ketua Muslimat PAS Sabah, Norsah Bongsu dalam pertemuan bersama penduduk kampung itu telah mendesak kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah itu dengan kadar yang segera.

Katanya, kerajaan negeri sewajarnya membina jambatan di perkampungan asal mangsa kemudian membahagikan kawasan tersebut kepada lot-lot tertentu untuk didiami oleh mangsa.

“Sewajarnya, kerajaan tidak membazir wang dengan membina rumah kabin kontena yang sudah pasti tidak selesa, tetapi menyerahkan dana tersebut kepada mangsa untuk mereka dirikan rumah di kampung asal mereka.

“Kita menagih pelan jangka pendek daripada kerajaan negeri termasuk wakil rakyat di sini bagi menyelesaikan masalah tersebut kerana mangsa-mangsa ini tidak mahu menderita berterusan begini,” ujar Sahar.

Selain itu, Norsah yang hadir dalam pertemuan itu turut mendesak agar masalah berkenaan dapat diselesaikan segera.

Katanya, ia bukan hanya isu penempatan mangsa kebakaran, bahkan yang lebih penting ialah isu kesihatan, isu perkembangan anak-anak, isu sosial dan lain-lain yang juga berkait rapat dengan masalah itu.

Beliau mengharapkan ada penyelesaian yang berkesan daripada pihak berwajib agar penderitaan mangsa tidak berlanjutan. – HARAKAHDAILY 26/10/2018