Paras garis kemiskinan disemak semula

KERAJAAN Persekutuan bercadang akan menyemak semula Paras Garis Kemiskinan (PGK) nasional supaya selari dengan tekanan kos sara hidup yang dihadapi rakyat. PGK semasa ialah berasaskan kepada statistik 2014 iaitu, RM970 bagi Semenanjung Malaysia, RM990 bagi Sarawak dan RM1,170 bagi Sabah dan Labuan.

Advertisement

Buat masa ini, semua bantuan kebajikan yang diberikan oleh kerajaan adalah berdasarkan pendaftaran dalam sistem data e-Kasih. Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, model PGK yang diguna pakai sekarang akan diubah dengan mengambil kira corak perbelanjaan rakyat mengikut lokasi dan demografi.

Dalam Kajian Separuh Penggal RMK11, konsep PGK yang baharu telah diperkenalkan iaitu Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI). Indeks tersebut dianggap lebih komprehensif kerana merangkumi faktor infrastruktur, kemudahan awam, penjagaan kesihatan, pendidikan berkualiti dan perumahan mampu milik.

Sementara itu, kadar kemiskinan di Malaysia telah susut kepada 0.4% pada 2016 berbanding 0.6% dua tahun yang lalu. Statistik status kemiskinan nasional (e-Kasih) bertarikh 31 Disember 2017 yang disediakan oleh Jabatan Statistik mencatatkan jumlah keseluruhan kemiskinan (miskin tegar dan miskin) diseluruh negara mencecah kira-kira 200,000 orang. – HARAKAHDAILY 26/10/2018