Relevankah persatuan sukan dipimpin ahli politik?

DALAM persatuan sebenarnya ada unsur-unsur politik, walaupun mereka menafikan mereka dari golongan politik. Tetapi awas, yang bermati-matian menafikan tidak berpolitik ini, jangan mudah kita percaya. Adakalanya lebih dahsyat politik mereka dari orang politik itu sendiri. Ada yang mahukan jawatan, akan membuat gerakan sendiri sama ada baik atau curang bagi memastikan hajatnya tercapai. Bagi yang curang, kita maklum, mungkin geram kerana kewangan kukuh persatuan atau dendam dengan seseorang. Dan bagi yang baik dan amanah pula insya-Allah kerana ingin memajukan persatuan mungkin disebabkan kelemahan pengurusan yang ada. Kita semenjak awal lagi, telah melihat keberadaan ahli politik dalam persatuan sukan ini. Sehingga kini, mereka menguasai kebanyakan persatuan sukan di Malaysia. 

Advertisement

Dalam bola sepak, nama-nama seperti Dato’ Mazlan Harun – Selangor, Dato Raja Ahmad Zainudin – Perak, Dato’ Rastom Ahmad Maher, Tan Sri Annuar Musa, Tan Sri Ahmad Rithauden, Dato’ Takiyuddin, – Kelantan, Dato Seri Shahidan Kassim – Perlis, Dato Ahmad Basri Ahmad – Kedah, Dato Seri Mohamad Hasan – NS, Dato Taha – Sarawak, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, Dato’ Abu Bakar Daud, Dato’ Yahya Hashim, YAB Dr Ahmad Samsuri, YB Hishamuddin Abdul Karim – Terengganu. Mereka semua ini adalah antara yang menduduki atau bekas menduduki jawatankuasa tertinggi persatuan bola sepak negeri masing-masing dan juga menjawat posisi teratas dalam hierarki parti politik mereka sertai.

Jika dilihat dari sudut negatifnya kehadiran mereka sebagai pemimpin persatuan sukan ini, boleh saya kisahkan kembali beberapa contoh perkara yang pernah berlaku dahulu di Terengganu kerana saya lebih terdedah dengan cerita dalam persatuan sukan di sana. Pasukan Terengganu pernah mempunyai seorang jurulatih Abdullah Mohamad atau nama gelarannya Dillah. Sudah termaklum cerita tersebar di kalangan peminat iaitu apabila sejurus sebelum perlawanan terpilih berlangsung, akan ada senarai khas pemain yang akan diturunkan yang Dillah terpaksa akur, kerana itu adalah satu arahan. 

Pada akhir 80-an, timbul satu nama tersohor yang dikatakan bakal melonjakkan pasukan Terengganu menjadi sebuah pasukan yang disegani, Mubin Mokhtar. Pemain kidal hebat itu sempat menyumbang bakti kepada pasukan Terengganu seingat saya, dua musim, 88 dan 89 sahaja. Kemudian beliau yang disebut hanya bergaji kecil ketika itu bekerja dengan Majlis Perbandaran Kuala Terengganu, segera disambar Pahang yang menawarkan gaji dikhabarkan empat kali ganda. Beliau diceritakan ada bertanya kepada pengurusan Terengganu untuk ‘counter offer’ tetapi pengurusan Terengganu tidak mahu menaikkan gajinya.

Beliau juga menerima juga kereta Civic ‘Mayat’ berwarna merah, rumah dan banyak lagi kemudahan lain. Yang saya ingat plat kereta beliau, di depannya “CAC” pemberian Pahang. Maka kekallah Mubin di Pahang, tidak pernah beliau kembali semula untuk bermain dengan pasukan Terengganu. Setianya beliau bersama Pahang, pada malam ayahanda beliau meninggal dunia, sebelum satu perlawanan, beliau tetap masuk padang, menghabiskan perlawanan itu dari mula sehingga akhir, sebelum pulang menguruskan jenazah ayahanda beliau. Dimaklumi, selain daripada gaji, Mubin angkat kaki kerana Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) terlalu banyak ‘politiking’.

Begitu juga masalah pemilihan pemain-pemain dari daerah luar dari Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang, amat tipis peluang mereka untuk diserapkan ke pasukan utama. Mereka seperti terpinggir. Jika ada pun amat sedikit. Sehinggalah Mohd Nor Bidin, berjaya membawa Sungai Tong ke perlawanan separuh akhir Piala FAM sekitar akhir tahun 80-an, baharulah agak terbuka peluang kepada bakat-bakat luar selain daripada tiga daerah tadi. Timbullah nama seperti Zubir Embong, antara penjaga gol terlama dalam skuad Terengganu, Badrul Hisham Abdullah, Anuar Ariffin, Ariffin Osman dan beberapa lagi nama.

Isu rasuah menghantui Liga Malaysia yang diisytiharkan profesional pada sekitar 94. Kebimbangan terhadap isu ini ialah kerana ahli-ahli politik yang memegang persatuan bola ketika itu, ada yang terpalit dengan isu-isu berkaitan dengan penyelewengan kewangan. Bukan semua, tapi ada. Apabila golongan ini menjadi pemimpin, maka kita boleh memahami apa yang bakal terjadi kepada orang bawahannya. Profesor Emeritus Khoo Kay Kim, antara peminat utama bola sepak negara, yang sentiasa tulisan beliau mencadang, mengkritik bola sepak Malaysia disiarkan secara tetap di dalam akhbar, akhirnya meletakkan penanya dan sekali gus menjauhkan diri daripada dunia bola sepak.

Mereka juga berpolitik sesama mereka dalam persatuan. Ada kisah apabila seorang AJK yang tidak disukai dalam PBSNT inginkan tiga pemain import dan mengugut mahu meletakkan jawatan jika tidak ditunaikan. Tetapi yang lain mahu meminggirkan AJK ini. Mereka bermesyuarat dan bersetuju untuk mengambil hanya dua pemain import. AJK itu marah dan meletakkan jawatan, dengan harapan akan dipujuk balik. Persatuan sebulat suara menerima perletakan jawatan AJK itu dan kemudiannya, mengambil tiga orang pemain import bagi pasukan. Beliau terkena tendangan politik.

Adun Bandar (PAS), Azmi Lop Yusof, sekitar tahun 2000/1, pernah diketepikan daripada pertandingan merebut jawatan dalam PBSNT. Ini kerana hampir keseluruhan PBSNT, dikuasai Umno. Dato’ Che Mat Jusoh, pengurus pasukan Terengganu ketika menjadi juara 2001 juga adalah seorang calon BN pada tahun 2004. Azmi hanya digunakan sementara menjadi pengurus pasukan pada tahun 2000, tetapi kemudiannya dipinggirkan dari pasukan. Jadi adakah anda merasa pelik jika masalah penjualan tiket pada dua tiga hari lalu menjadi kecoh? Mereka sudah lama bersarang dalam persatuan. Tambahan pula jawatan-jawatan ini ada elaunnya. Makinlah menjadi-jadi. Inilah antara cerita politik yang berlaku dalam persatuan.

Dari sudut positif pula, mereka yang bersungguh-sungguh menjaga persatuan dari kalangan orang politik ini, patut diberi pujian. Dato’ Ahmad Basri dari Kedah contohnya. Menghabiskan banyak wang beliau sendiri bagi menaikkan nama Kedah ketika itu. Ia diakui sendiri oleh pemain Piala Presiden Kedah yang saya kenali tahun-tahun akhir 80-an dan awal 90-an menyaksikan Kedah, yang pernah digelar ‘pakar seri’ diketuai oleh Radhi Mat Din kemudiannya menjadi pasukan digeruni lawan. Tan Sri Elyas Omar, juga orang Umno yang berjaya membawa Kuala Lumpur menjadi sebuah gergasi dalam bola sepak Malaysia. Mereka ini bekerja dengan bersungguh-sungguh bagi menaikkan prestasi pasukan, menguruskannya dengan profesional, tanpa terlalu melibatkan hal politik, dan mereka berjaya. Pengurusan Selangor pun begitu.

Mereka ini mempunyai laluan mudah bagi mendapatkan bantuan-bantuan besar seperti kewangan dan kemudahan-kemudahan lain. Seperti yang kita maklum, politik di Malaysia masih mengamalkan politik dendam dengan parti lawan, kecuali PAS. Jadi kerja-kerja pengurusan akan menjadi lebih mudah jika ahli politik kerajaan memegang persatuan. Mereka juga mangli dengan kerja-kerja pengurusan, mempunyai banyak pengalaman. Tidak semestinya persatuan hanya boleh diduduki oleh pemain, bekas-bekas pemain atau golongan yang arif mengenai bola sepak semata-mata. Selain daripada ilmu bola itu, ilmu-ilmu pengurusan juga mesti ada dalam dada bagi memantapkan lagi sistem yang ada supaya lebih berdaya maju. Ini semua tidak boleh dinafikan, dalam ilmu ini, ahli politik mempunyai sedikit kelebihan. 

Jadi apa  pun yang berlaku dalam pengurusan, biarlah mereka yang mempunyai sikap bertanggungjawab terhadap amanah yang diberikan menjadi pemimpin, tidak kira apa latar belakang mereka. Ini yang kita mahu tekankan. Kita akan pasti dapat melihat kejayaan atas apa yang mereka usahakan jika pengurusan beramanah. Bola sepak di Malaysia ini sepatutnya sesuatu yang tidak merugikan persatuan jika pun tidak memberikan keuntungan besar sekiranya ia benar-benar diuruskan dengan perancangan yang baik. Pengurusan mestilah ikhlas, bukan semata-mata mengejar elaun menjadi seseorang dalam persatuan.

Walaupun saya tidak lagi masuk stadium, saya juga sebenarnya tidak berpeluang untuk menonton perlawanan ini di stadium kerana tiada tiket dan juga kerana sekarang berada di luar negara, saya tetap menyokong Terengganu. Saya ucapkan selamat berjuang bagi pasukan Terengganu. Semoga semangat kerajaan baharu ini, menyerap masuk ke dalam jiwa-jiwa pemain, untuk menghasilkan semangat juang yang tinggi, memberikan kejuaraan kepada Terengganu.

Peteh Terengganu Peteh! 

MOHD NASIR ABDULLAH
Al-Khor, Qatar
26 Oktober 2018 – HARAKAHDAILY 26/10/2018