Royalti: Milik negeri, bayar kepada negeri

SAYA fikir isunya sekarang bukan lagi persoalan kemampuan negeri menguruskan royalti petroleum kerana negeri mencapai standard pengurusan kewangan seperti ditetapkan Jabatan Ketua Audit Negara, tetapi kemampuan pusat memastikan wang royalti petroleum milik negeri yang dibayar oleh Petronas dibayar kepada negeri seperti kehendak Akta dan Perjanjian.

Advertisement

Mekanisma Petronas bayar dahulu royalti kepada Persekutuan termasuk royalti milik negeri perlu diperbetulkan. Apatah lagi Perjanjian 1975 adalah antara Petronas dengan Terengganu. Terengganu bukan pihak ketiga kepada perjanjian.

Terengganu tak sepatutnya diperlakukan seolah-olah seperti ‘sub kontraktor’ kepada Persekutuan dalam Akta dan Perjanjian Petroleum ini.

Mengapa Petronas bayar dulu kepada Persekutuan apa yang jelas milik negeri diperuntukkan dalam perjanjian.

Adakah Terengganu sebagai pihak kepada perjanjian pernah mengeluakan apa-apa “payment instruction” atau arahan pembayaran kepada Petronas agar apa yang menjadi milik Terengganu dibayar dulu kepada Persekutuan dan Persekutuan lepas itu bayar kepada Terengganu?

Tidakkah Persekutuan sendiri sudah menerima bahagian royalti milik Persekutuan sendiri 5 peratus dari pengeluaran petroleum di negeri-negeri berkenaan, mengapa menjadi tamak sehingga mahu ditahan juga 5 peratus royalti yang menjadi milik negeri?

Wang yang ditahan itu pula, untuk apa? Negeri perlukan hasil mahsul yang menjadi milik negeri untuk pengurusan pentadbiran, kebajikan rakyat dan pembangunan negeri.

Adakah wang ditahan kerana Kerajaan Persekutuan mahu ‘guna dulu’ wang milik negeri untuk tujuan lain? Tidakkah jika itu tujuannya perlulah kepada persetujuan negeri jika Persekutuan mahu guna wang milik negeri? Wang yang berbillion, bermalam satu malam pun bukan sikit hasil faedah riba diperolehi di bank (overnight rate). Siapa yang ambil manfaat atas itu?

Tidakkah keutuhan federalisme yang dilaungkan oleh Kerajaan Persekutuan seharusnya bertitik tolak atas saling menghormati antara Persekutuan dan negeri-negeri yang membentuk Persekutuan ini? Tiada negeri-negeri, tiadalah Persekutuan. Tiadalah lautan bagi Persekutuan tidak kira contiguous zone atau exclusive economic zone EEZ. Itu adalah asalnya milik negeri yang dijadikan hak Persekutuan melalui penubuhan Persekutuan.

Saya fikir, jika perlu, bagi mengelakkan salah guna wang royalti milik negeri oleh Persekutuan, Akta dan Perjanjian yang ada perlu diperbetulkan dengan meletakkan peruntukan jelas bahawa bayaran-bayaran royalti petroleum oleh Petronas mesti dibayar ke akaun pemiliknya.

Royalti Persekutuan dibayar ke Persekutuan, Royalti milik negeri mesti dibayar kepada negeri.

Tidak harus lagi berlaku seolah-olah negeri bagaikan sub kontraktor pula meminta bayaran dari kontraktor utama yang telah terima bayaran penuh dari pelanggan.

HJ AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
26 Oktober 2018 – HARAKAHDAILY 26/10/2018