Kanser payudara: Bagaimana kami boleh tolong anda

KANSER payudara merupakan kanser yang paling kerap berlaku kepada wanita dan seluruh rakyat tanpa mengira bangsa di Malaysia. Satu dalam setiap 20 wanita di negara kita mempunyai risiko untuk mendapat kanser payudara dalam hayat kehidupan mereka (bersamaan 700,000 orang).

Advertisement

Kebarangkalian untuk kanser payudara berlaku bertambah bermula dari umur 30 tahun dan melibatkan paling ramai daripada pesakit dalam lingkungan usia 50 hingga 60 tahun.

Dr Nor Hisham MudaApa yang menyedihkan dari pengalaman saya sepanjang lebih 20 tahun sebagai pegawai perubatan yang terlibat dalam rawatan kanser payudara, kebanyakan pesakit (60 peratus daripada pesakit kanser payudara) datang ke hospital untuk mendapatkan rawatan pada tahap 3 (kanser yang merebak setempat) atau 4 (kanser yang telah merebak ke organ-organ lain seperti paru-paru, tulang atau hati).

Sebahagian daripadanya telah datang pada peringkat awal (tahap 1 dan 2) tetapi telah menolak rawatan yang disyorkan oleh pakar pembedahan payudara dan endokrin untuk mendapatkan rawatan alternatif. Hampir semua daripada pesakit-pesakit ini akan datang kembali dengan kanser pada tahap yang lebih serius.

Oleh itu, adalah amat penting untuk pesakit yang mempunyai ketumbuhan atau ketulan pada payudara untuk datang ke klinik pembedahan bagi menjalankan penyiasatan lanjut untuk tujuan pengesahan kanser payudara, mengetahui tahap kanser payudara dan seterusnya mendapatkan rawatan awal yang lengkap untuk meningkatkan kebarangkalian untuk sembuh.

Apa yang akan dilakukan kepada pesakit yang datang ke Klinik Pembedahan Payudara dan Endokrin?

Semua pesakit akan melalui apa yang dipanggil pemeriksaan tiga serangkai (triple assessment) iaitu:

1. Pengambilan sejarah penyakit dan pemeriksaan fizikal

2. Pemeriksaan radiologi sama ada mamografi (x-ray payudara) atau/dan ultrasound

3. Pengambilan sampel sel atau sampel tisu ketumbuhan bagi pengesahan kanser payudara

Setelah kanser payudara disahkan oleh pengambilan sampel sel atau tisu, langkah seterusnya adalah untuk mengetahui tahap kanser payudara tersebut sebelum rawatan awal yang lengkap dilakukan.

Pengambilan sejarah penyakit dan pemeriksaan fizikal

Sejarah pesakit diambil dengan teliti untuk mengetahui tanda-tanda kanser payudara dan juga faktor risiko yang ada pada pesakit. Antara tanda- tanda kanser payudara adalah ketulan pada payudara dan/atau ketiak, ketulan yang membesar dengan cepat, lelehan berdarah yang keluar dari puting payudara tanpa sebab, puting payudara atau kulit yang tertarik ke dalam, perubahan kepada struktur kulit payudara dan juga keradangan kepada payudara.

Selain itu kita juga melihat kepada faktor risiko kanser payudara yang ada pada pesakit seperti sejarah kanser payudara pada keluarga yang terdekat, umur pesakit, sejarah kanser payudara yang lepas pada pesakit yang sama, pendedahan kepada radiasi ke bahagian dada pada usia muda (kurang dari 20 tahun), faktor kesuburan seperti kandungan pertama pada usia melebihi 30 tahun, tidak mempunyai anak, tidak menyusukan anak, penggunaan pil perancang keluarga, penggunaan hormon selepas putus haid, haid pertama yang awal (kurang dari 12 tahun) dan putus haid yang lewat (selepas 55 tahun). Kegemukan dan pengambilan alkohol juga merupakan faktor risiko boleh ubah kepada kanser payudara

Fakta-fakta ini membolehkan kita mengkategorikan pesakit kepada risiko rendah, sederhana atau tinggi untuk mendapat kanser payudara.

Pemeriksaan payudara oleh doktor pakar amatlah penting bagi melihat ciri-ciri ketulan sama ada ianya bercirikan ketulan yang tidak bahaya atau bukan kanser (benign) ataupun ketulan kanser.

Ini adalah sangat penting kerana bagi kes-kes yang berisiko tinggi untuk kanser segala penyiasatan susulan akan dilakukan secepat yang mungkin. Antara ciri-ciri ketulan yang berisiko tinggi adalan ketulan yang keras dan berakar (ill-defined margin), yang melekat pada kulit atau dinding dada, perubahan pada kulit seumpama kulit limau dan ketulan pada ketiak pada masa yang sama.

Pesakit yang mempunyai sejarah keluarga juga dinasihatkan untuk memberi penerangan kepada ahli keluarga mereka yang lain untuk menjalani pemeriksaan awal walau tiada apa-apa tanda kanser payudara sekalipun.

Pemeriksaan radiologi

Bagi pesakit yang berisiko untuk mendapat kanser payudara ataupun yang mempunyai ketulan yang berisiko tinggi pemeriksaan mammogram akan dijalankan secepat yang mungkin bagi pesakit yang berumur 40 tahun dan ke atas.

Mamogram (x-ray payudara) dilakukan bagi melihat ciri-ciri ketulan sama ada mempunyai ciri-ciri kanser atau sebaliknya. Salah satu kelebihan mammogram adalah ia dapat mengesan kanser-kanser kecil dan tanda tanda awal kanser payudara seperti pemendapan kalsium dalam tisu payudara (calcification) walaupun masih belum boleh dirasa secara pemeriksaan klinikal.

Pemeriksaan mamografi biasanya akan disertakan dengan pemeriksaan ultrasound payudara bagi kes kes tertentu. Penggunaan ultrasound bagi melengkapkan pemeriksaan payudara selepas mamogram didapati akan meningkatkan lagi keupayaan untuk mengesan kanser payudara.

Ultrasound payudara umumnya sesuai untuk pesakit yang berumur bawah 40 tahun disebabkan oleh kepadatan tisu payudara yang tinggi yang tidak sesuai untuk mammografi.

Pengambilan sampel sel atau tisu ketumbuhan

Pengambilan sampel sel (fine needle aspiration cytology) dan pengambilan tisu (core/trucut biopsy) dilakukan untuk mengesahkan kanser payudara. Ianya biasa dilakukan selepas mammogram ataupun ultrasound.

Pengambilan sampel tisu dilakukan dengan pemberian bius setempat demi keselesaan pesakit. Pemeriksaan sel ataupun tisu akan dilakukan oleh pakar patologi bagi mengesahkan kanser dan juga melihat ciri-ciri kanser secara lebih terperinci.

Pemeriksaan tiga serangkai sangatlah penting bagi pesakit yang berisiko kerana ia akan menghasilkan keputusan dengan ketepatan yang tinggi dalam mengesan kanser payudara (ketepatan 98%, sensitivity 100%, specificity 95.2%).

Struktur payudara yang hanya berada di bawah kulit sebenarnya adalah satu rahmat kepada semua di mana ia membolehkan pengesanan awal dilakukan jika terdapat ketulan pada payudara berbanding dengan kanser di bahagian lain.

Pemeriksaan sendiri payudara merupakan satu cara yang amat penting untuk pengesanan awal tetapi pengesanan awal tidak akan bermakna jika pesakit tidak terus ke klinik pakar bagi proses pengesahan dan seterusnya mendapatkan rawatan seawal dan selengkapnya.

Bagi mereka yang berisiko walaupun tidak mempunyai sebarang tanda-tanda kanser payudara dinasihatkan menjalani pemeriksaan payudara di klinik pakar di samping ujian mammogram apabila mencecah usia 40 tahun.

Pengesanan kanser payudara di peringkat awal diikuti dengan rawatan lengkap termasuklah pembedahan yang merupakan rawatan utama dan/atau kemoterapi, radioterapi dan rawatan hormon ataupun terapi biologi tertumpu (targeted therapy) sangatlah penting bagi meningkatkan peluang untuk sembuh.

Jangan takut kepada rawatan kanser payudara yang memberi peluang kepada kita untuk sembuh dengan izin-Nya tetapi takutlah untuk hidup bersama kanser payudara yang boleh merebak. Janganlah kita melakukan sesuatu yang memudaratkan diri kita sendiri dengan tidak merawat kanser payudara dengan betul.

Sempena bulan kempen kesedaran kanser payudara yang diadakan setiap bulan Oktober di seluruh negara, saya menyeru kepada semua untuk berusaha memerangi kanser payudara. – HARAKAHDAILY 28/10/2018

Penulis ialah Pakar Bedah Payudara dan Endokrin Jabatan Pembedahan Am Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.