Adun BN akui diugut sertai Bersatu

KOTA BHARU: Sehingga sekarang tiada cawangan atau bahagian Umno yang dibubarkan selepas lima bulan parti itu kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas.

Advertisement

Ketua Pembangkang Dun Kelantan, Dato’ Md Alwi Che Ahmad sebaliknya berkata, apa yang berlaku sekarang wakil rakyat BN bukan sahaja diugut, malah dicincang hidup-hidup oleh Bersatu.

“Kemudian meminta kita ramai-ramai masuk Bersatu. Bersatu sudah terdesak untuk mendapatkan sokongan Umno ketika kekuatannya dalam kerajaan Pakatan Harapan sekarang semakin lemah.

“Bersatu mempunyai 13 ahli Dewan Rakyat dalam kerajaan gabungan PKR, DAP dan PAN selepas mendapat mandat rakyat pada PRU 14 lalu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau yang juga Adun Barisan Nasional Kok Lanas berkata, tidak munasabah Umno yang mempunyai tiga juta ahli menerima tawaran Bersatu yang disifatkan tiada sokongan akar umbi. – HARAKAHDAILY 29/10/2018