AQSA diiktiraf Tahfiz terbaik P. Pinang

KEPALA BATAS: Maahad Tahfiz Akademi Al-Quran As-Syamil (AQSA) telah dianugerahkan sebagai Pusat Tahfiz terbaik peringkat Negeri Pulau Pinang bagi tahun 2018.

Advertisement

Anugerah tersebut sempena Majlis Takrim Hamalatil Quran 2018 anjuran Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang di Masjid Jamik Abdullah Fahim, Bertam, di sini kelmarin.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Yang Di-pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Utama Dr Abdul Rahman Abbas.

Mudir Maahad Tahfiz AQSA, Muhammad Amin Bin Kassim berharap warga maahad dapat mengekalkan prestasi dan meningkatkan kualiti dari penganugerahan itu.

Manakala, Pengerusi Lembaga Tadbir Maahad Tahfiz AQSA, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah menyifatkan ianya sebagai satu kepercayaan dan pengiktirafan daripada pihak kerajaan negeri.

“Anugerah ini menjadi satu cabaran kepada semua terutama pihak pengurusan, mudir dan staf untuk memberi komitmen yang lebih tinggi.

“Ini bagi memastikan prestasi maahad lebih cemerlang terutamanya dari sudut kualiti hafazan para pelajar,” ujarnya yang juga Adun Penaga. – HARAKAHDAILY 29/10/2018