ECRL perlu diteruskan

alias hamid

KUALA LUMPUR: Che Alias Abd. Hamid (PAS-Kemaman) mendesak kerajaan meneruskan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berdasarkan tonggak ketiga dalam Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) iaitu menuju ke arah pembangunan wilayah yang seimbang.

Advertisement

Menurut beliau, usaha menangani ketidakseimbangan wilayah perlu dipergiatkan dengan cara memperkasakan sumber yang ada di setiap negeri.

“Kerajaan perlu memandang ke hadapan dalam memajukan negara tanpa menafikan hak kerajaan negeri dan juga tanpa menangguhkan pembangunan dan infrastuktur yang sepatutnya diberikan kepada kerajaan negeri,” katanya.

Tambah beliau, pembangunan yang adil dan saksama seharusnya dibahagikan sama rata memandangkan rakyat Pantai Timur juga membayar cukai seperti rakyat di negeri lain.

“Ini bukti semangat federalisma yang diberikan kerajaan neegri kepada Kerajaan Persekutuan,” ujarnya ketika berbahas mengenai Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas di Dewan Rakyat.

Sementara itu, beliau turut memohon agar kerajaan membuat keputusan muktamad berkenaan Projek ECRL supaya perancangan pihak lain yang membabitkan jajaran ECRL dapat dilaksanakan secepat mungkin.

Mengambil kesempatan itu, beliau mengucapkan terima kasih diatas inisiatif kerajaan dalam meluluskan Pembangunan Hospital Kemaman dan berharap agar utiliti tersebut bakal siap mengikut jadual yang ditetapkan iaitu pada 19 Disember 2021. – HARAKAHDAILY 29/10/2018