Rabies: PAS Bintulu harap penguatkuasaan

RABIES merupakan penyakit yang mengganggu sistem saraf disebabkan virus Lyssavirus yang menyebabkan keradangan otak dan boleh mendatangkan kematian berpunca daripada gigitan anjing. Laporan mencatatkan, sejak Jun 2017 sebanyak 13 laporan dibuat dan 12 pesakit telah meninggal dunia. Kini, Bintulu menjadi kawasan ke 45 dan 46 yang dijangkiti.

Advertisement

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kawasan Bintulu berpandangan isu ini perlu diberi keutamaan dalam tindakan kerana isu ini melibatkan kesejahteraan penduduk .

Pada masa ini masih ramai ahli masyarakat yang berasa tidak selamat apabila keluar dari rumah. Hal ini kerana masih terdapat anjing-anjing berkeliaran di kawasan-kawasan perumahan. Malah ada juga anjing yang kadang kala masuk ke kawasan sekolah.

Pihak berkuasa perlu mengambil pengajaran bagaimana kes ini yang bermula di Serian, akhirnya telah menular ke Bintulu. Perlu diingat juga, Sarawak memiliki populasi 300 000 ekor anjing dan ini meningkatkan lagi potensi virus ini tersebar.

Atas kepentingan keselamatan masyarakat, PAS Bintulu mencadangkan agar pihak berkuasa melaksanakan aktiviti kawalan dan pencegahan bukan sahaja di dua kawasan dijangkiti tetapi di seluruh Bintulu.

PAS Bintulu memuji usaha untuk memperketatkan penguatkuasaan undang-undang kecil baharu bagi kawalan dan perlesenan anjing yang akan berkuatkuasa 1 Disember seperti yang diumumkan Menteri Muda Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Dr Penguang Manggil.

Tindakan Pihak Berkuasa Tempatan seperti Bintulu Development Authority (BDA) yang menyediakan talian hotline adalah satu langkah proaktif dan amat mesra penduduk. Walau bagaimanapun masyarakat berharap bilangan pegawai penguatkuasa yang berkaitan akan ditambah dalam keadaan menularnya wabak Rabies ini. Kemudahan yang sewajarnya juga perlu ditambah seperti tempat jagaan anjing terbiar bagi memastikan tugas para pegawai berkaitan dapat dilaksanakan tanpa kekangan.

Langkah Jabatan Kesihatan Veterinar menawarkan suntikan vaksin percuma kepada anjing peliharaan juga wajar dipuji. PAS mencadangkan agar lawatan ke rumah-rumah dibuat bagi tujuan ini seperti yang dijalankan oleh Pihak Pejabat Kesihatan Bintulu dalam menangani kes JE pada tahun lepas. Kempen dan hebahan secara meluas berkaitan suntikan vaksin kepada anjing juga perlu dipergiatkan, selain menyediakan klinik bergerak di kawasan penduduk berkepadatan tinggi dan luar bandar.

Selepas 1 Disember, PAS berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas kepada pemilik anjing yang masih ingkar untuk menghantar anjing mereka bagi mendapatkan suntikan vaksin. Pemilik yang tidak mempunyai lesen perlu didakwa. Pengehadan pemilikan memelihara 3 ekor anjing bagi kediaman bertanah dan seekor baka kecil bagi rumah pangsa amat wajar dikuatkuasakan. Proses pendakwaan perlu dijalankan supaya semua ahli masyarakat mengambil pengajaran.

Kini setelah setahun Rabies menjadi wabak di Sarawak, masih belum ada sebarang tanda wabak ini akan berkurangan. PAS Bintulu amat mengharapkan tindakan yang cekap di Bintulu oleh pihak penguatkuasa agar kawasan yang diisytihar sebagai wabak tidak akan bertambah.

Slogan “Let’s make Bintulu better” tidak akan menjadi kenyataan sekiranya isu ini tidak ditangani segera secara bersama.

ZHARUDIN NARUDIN
YDP PAS Kawasan Bintulu – HARAKAHDAILY 29/10/2018