Ratifikasi ICERD: Adakah pembangkang terlibat?

tuan ibr

KUALA LUMPUR: Ratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dilihat bercanggah dengan Perlembagaan Negara dan beberapa peruntukan dalam Perlembgaan Persekutuan, kata Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man.

Advertisement

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menyatakan kebimbangannya bahawa melihat kenyataan daripada sesetengah menteri seolah-olah bersetuju dengan ratifikasi tersebut.

“Kenyataan-kenyataan ini telah pun membentuk satu pemikiran dan saya ingin mendapat penjelasan daripada menteri-menteri.

“Apakah pihak pembangkang juga turut dilibatkan dalam perbincangan di dalam jawatankuasa yang akan diwujudkan nanti?” ujarnya dalam soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.

Menjawab persoalan itu, Timbalan Menteri Luar Negeri, Marzuki Yahya menjelaskan bahawa Perdana Menteri semasa di Persidangan Agung Persatuan Bangsa-bangsa bersatu (UNGA) berkata, akan memberi ruang dan masa kepada semua pihak untuk membahaskan ratifikasi tersebut serta bakal memutuskannya berdasarkan sistem demokrasi kerajaan dan akan menjalankan proses tersebut dengan menghormati Perlembagaan Persekutuan. – HARAKAHDAILY 29/10/2018