RMK11: Suara rakyat Setiu ke parlimen

PERBAHASAN Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 membuka ruang untuk saya mengetengahkan suara dan harapan rakyat Terengganu khususnya dari kawasan Parlimen Setiu yang saya wakili. Perbahasan saya tertumpu kepada empat perkara utama iaitu: (i) kekangan rakyat Setiu; (ii) pembangunan luar bandar; (iii) jurang dua golongan; (iv) dan keseimbangan alam sekitar.

Advertisement

Pertamanya, kekangan rakyat Setiu merupakan keutamaan saya. Aduan serta harapan rakyat Setiu dibawa ke Peringkat Kerajaan Persekutuan yang merupakan salah satu langkah bagi mencapai segala harapan rakyat.

Hasil daripada program bersama rakyat baru-baru ini, saya berjaya mengumpul pelbagai aduan dan masalah rakyat untuk diketengahkan. Antara isu yang berjaya diangkat ialah, masalah air di Setiu, bagi menyelesaikan masalah tersebut, saya mencadangkan supaya disegerakan kelulusan projek pemasangan paip utama oleh Kerajaan Persekutuuan di mana kertas kerja telah pun disediakan oleh Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) dengan anggaran kos 4.76 juta.

Isu kemudahan kesihatan yang berkait rapat dengan nyawa rakyat harus dipandang serius oleh Kerajaan. Oleh itu, cadangan pembinaan Klinik Kesihatan Rhu 10 diutarakan bagi memudahkan rakyat mendapat kemudahan rawatan dan penambahbaikkan Klinik Kesihatan Jabi yang semakin tidak mampu menampung jumlah rakyat seramai 35,000 dengan jumlah keluasan Klinik Kesihatan Jabi hanyalah 520 kaki persegi.

Seterusnya, pembangunan luar bandar adalah merupakan sebahagian daripada strategi yang penting untuk memupuk satu sistem ekonomi yang bersepadu. Oleh itu, saya mencadangkan agar aspek peluang pekerjaan anak-anak luar bandar seharusnya diberi penekanan daripada pihak kementerian agar perpindahan penduduk ke bandar dapat dielakkan bagi mengurangkan jurang antara luar bandar dan bandar.

Selain itu, saya juga menekankan isu jurang antara dua golongan iaitu golongan T20 dan B40 yang semakin ketara. Kerajaan seharusnya mengaplikasikan cadangan yang dibawa oleh PAS iaitu memperkenalkan cukai korporat agar harta kekayaan tidak hanya berlegar dalam kalangan orang kaya sahaja. Golongan B40 seharusnya dapat merasai kekayaan golongan T20. Dengan ini, konsep keadilan dan kesejahteraan di antara rakyat dapat dirasai oleh semua rakyat.

Kerajaan juga perlu memberi penekanan terhadap keseimbangan alam sekitar. Saya telah memberi cadangan agar kerajaan meningkatkan usaha dalam penggunaan kereta hybrid agar pelepasan karbon yang akan mencemarkan alam sekitar dapat dikurangkan. Manakala isu yang berkait rapat dengan rakyat Setiu iaitu hakisan yang melanda persisiran pantai Batu Rakit, kecetekan muara Sungai Merang , jalan di Kg Bukit Aman sehingga Kg Sungai Las , masalah pendapatan peneroka FELDA juga menjadi tajuk yang dilaungkan di dalam perbahasan.

Akhirnya, saya menggesa pihak kerajaan agar menunaikan segala harapan rakyat dan tidak semata-mata menabur janji manis kepada rakyat serta tidak sama sekali menganaktirikan mana-mana negeri terutama daerah Setiu.

Rakyat meletakkan harapan yang tinggi untuk melihat perubahan kerajaan baru dan tidak lagi mengulangi kesilapan kerajaan Barisan Nasional. Saya juga berharap Kerajaan Persekutuan dapat bersama-sama dengan kerajaan negeri walaupun berlainan parti politik demi menjaga kepentingan rakyat dan negara.

’Islam Memimpin’

YB SHAHARIZUKIRNAIN ABD KADIR
Ahli Parlimen Setiu – HARAKAHDAILY 30/10/2018