PAS tegas menolak ratifikasi ICERD

PADA pagi tadi berlangsungnya sesi penyerahan memorandum oleh Gerakan Pembela UMMAH berkenaan Bantahan Ratifikasi International Convention on Elimination of All Forms of Racial Discrimination (ICERD) kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Advertisement

Rombongan UMMAH yang menggabungkan 300 NGO ini telah disambut oleh Ahli Parlimen Marang, YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bersama sekalian Ahli Parlimen PAS.

Isu ICERD ini menjadi kian hangat apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Senator Waytha Moorthy mengumumkan bahawa Kerajaan PH akan meratifikasi ICERD pada suku pertama awal tahun hadapan. Pengumuman ini mendapat bantahan dan kecaman banyak pihak.
Kemudian, seorang lagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri,YB Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa bangkit mempertahankan pendirian Kerajaan PH ini sambil menuduh pihak yang membantah keputusan tersebut sebagai golongan yang tidak bertanggungjawab.

PAS sememangnya mempunyai pendirian yang tegas menolak ratifikasi ICERD ini kerana ia secara terang lagi nyata akan menyentuh dan mengganggu-gugat kedudukan orang Melayu-Islam dan Bumiputera di negara ini.
Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan menyebut:
“153. (1) Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri”
Kedudukan istimewa ini antaranya merangkumi tanah Rizab Melayu, kuota perkhidmatan awam, biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan dan permit perniagaan.

ICERD adalah konvensyen antarabangsa yang akan mengubah struktur dan acuan negara kita seandainya kerajaan menandatangani dan meratifikasinya.
Atas alasan dan motif apa Kerajaan PH mahu meratifikasi ICERD ini?
Mengapa PH mahu membuka pintu yang sudah lama berkunci dan merungkai ikatan yang sudah tersimpul kemas sejak kita merdeka pada tahun 1957 dahulu?
Adakah semangat Malaysia Baru mahu mengubah segala-galanya?
Apakah masa hadapan intipati utama kontrak sosial seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan ini;
a) Perkara 153 (berkenaan kedudukan Istimewa Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak)
b) Perkara 160 (berhubung takrif Melayu dan ikatannya dengan Islam)
c) Perkara 89 (mengenai tanah rizab Melayu di bawah Enakmen-Enakmen di peringkat Negeri-negeri).

Takrif diskriminasi kaum di bawah ICERD adalah amat luas sepertimana yang terkandung dalam Artikel 1 iaitu;
“1. In this Convention, the term “racial discrimination” shall mean any distinction, exclusion, restriction or preference based on race, colour, descent, or national or ethnic origin which has the purpose or effect of nullifying or impairing the recognition, enjoyment or exercise, on an equal footing, of human rights and fundamental freedoms in the political, economic, social, cultural or any other field of public life.”

Walaupun Menteri PH memberi alasan kononnya Malaysia boleh membuat pengecualian “reservation” terhadap perkara-perkara yang bertentangan dengan Perlembagaan, tetapi hakikatnya hal ini tidak mungkin dapat dilakukan, kerana perkara-perkara yang bertentangan tersebut adalah menyentuh objektif dan intipati tujuan ICERD itu sendiri.
Artikel 20 ICERD melarang sebarang pengecualian ataupun “reservation” yang bercanggah dengan objektif dan tujuan ICERD;

“2. A reservation incompatible with the object and purpose of this Convention shall not be permitted, nor shall a reservation the effect of which would inhibit the operation of any of the bodies established by this Convention be allowed.
A reservation shall be considered incompatible or inhibitive if at least two thirds of the States Parties to this Convention object to it.”

ICERD ini amat berbahaya kerana ia bukan sahaja menyentuh mengenai masa depan orang Melayu tetapi ianya turut mengancam kedudukan Islam yang ada terkandung dalam Enakmen Syariah di setiap negeri.
Hal ini kerana Artikel 5d(iv), (vi) dan (vii) ICERD melarang sebarang bentuk diskriminasi untuk kebebasan berkahwin silang agama dan bangsa, kebebasan untuk keluar agama, dan hak terhadap perwarisan harta.
Bukankah perkara ini akan membuka jalan untuk pihak tertentu menuntut hak murtad, hak Muslim berkahwin dengan bukan Islam tanpa menukar agama, dan hak samarata dalam pembahagian harta pusaka?
Adakah Menteri Agama kita sudah terlupa bahawa Perkara 160 Perlembagaan sudah menetapkan bahawa Melayu itu menganut agama Islam;
“Orang Melayu” ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat Melayu dan—
(a) yang lahir sebelum Hari Merdeka di Persekutuan atau Singapura atau yang lahir sebelum Hari Merdeka dan ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan atau di Singapura, atau yang pada Hari Merdeka berdomisil di Persekutuan atau di Singapura; atau
(b) ialah zuriat seseorang yang sedemikian;

Justeru, rakyat Malaysia khususnya ummat Islam berhak menuntut Kerajaan PH memberikan penjelasan sebenar berkenaan isu ini.

Perkara sebegini besar perlu dijadikan agenda perbahasan di Parlimen agar rakyat dapat menilai apa pendirian parti-parti dalam kerajaan iaitu PPBM, PKR, DAP, PAN, dan pro kerajaan iaitu Warisan dan GPS.

Gabungan pembangkang iaitu PAS dan Umno yang mewakili majoriti orang Melayu-Islam sudah pun menyatakan pendirian dengan jelas menolak ICERD ini.

Kerajaan PH juga diingatkan agar tidak melupakan peranan dan fungsi Majlis Raja-Raja Melayu yang bertindak sebagai pelindung dan penaung yang menjaga hak istimewa orang Melayu, Bumiputera dan mempertahankan kedaulatan Islam.

Kita sudah merdeka selama 61 tahun, mengapa pula pasca Malaysia Baru pimpinan PH ini mahu kita tunduk kepada tekanan pihak luar?

Atau sebenarnya ada pihak yang berada di dalam negara ini sendiri yang bersekongkol dengan pihak luar atas nama perjuangan hak asasi manusia.

Catatan oleh:
Syed Ahmad Fadhli
Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen dan Dun PAS Pusat
31 Oktober 2018 – HARAKAHDAILY 31/10/2018