PH batal bina masjid kerana dendam politik?

KUALA LUMPUR: Pembatalan projek pembinaan dua masjid dalam Parlimen Ayer Hitam oleh Kerajaan PH dilihat angkara dendam dan kebencian serta idealogi politik yang berbeza.

Advertisement

Ketua Penerangan Muslimat PAS Negeri Johor, Normala Sudirman berkata, projek yang diluluskan untuk Kampung Parit Haji Ali dan Kampung Parit Awang itu bererti rakyat telah dimangsa dan dinafikan hak mereka.

Sedangkan menurutnya, peruntukan asal telah diluluskan semasa pemerintahan BN dan ia sepatutnya diteruskan bagi keperluan rumah ibadah umat Islam, tetapi rakyat ‘dihukum’ kerana mengundi BN di situ.

Kerajaan PH ujar Normala, perlu bersikap profesional dan memiliki pendirian telus tanpa sikap ‘double standard‘ dengan menyokong setiap pembangunan yang menguntung dan memanfaatkan rakyat.

Sebaliknya tegas beliau, jika terdapat kepincangan, maka pemurnian dan pembetulan yang sewajarnya mengikut lunas undang-undang perlu diadakan dan bukan mengambil langkah berdasarkan emosi politik.

“Jangan terlalu mudah membatalkan, lebih-lebih lagi melibatkan masjid yang jadi lambang agama Islam, juga sebagai agama rasmi negara ini.

“Jadi Kerajaan PH digesa berikan alasan konkrit kenapa pembinaan itu dibatalkan. Kami mengharap tiada dendam politik kerana pilihan pengundi yang berbeza idealogi,” serunya yang juga Exco Muslimat PAS Malaysia. – HARAKAHDAILY 31/10/2018