Serah memorandum bantah retifikasi ICERD

KUALA LUMPUR: Gabungan badan-badan bukan kerajaan (NGO) Islam dan Melayu hari ini tampil menganjurkan bantahan aman dan penyerahan memorandum menolak ICERD ((International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination).

Advertisement

Himpunan yang disertai 200 peserta dari gabungan NGO itu diketuai oleh Ketua Sekretariat Gerakan Pembela Ummah, Aminuddin Yahya membantah komitmen kerajaan untuk meratifikasi enam perjanjian berkaitan hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Bantahan tersebut diadakan susulan ia didakwa akan memberi kesan kepada penghapusan hak keistimewaan orang Melayu serta bumiputera sekiranya negara meratifikasi perjanjian tersebut.

Justeru itu dengan kebimbangan tersebut mewakili NGO Islam dan Melayu, Aminuddin menyerahkan memorandum khas ‘tolak ICERD Penghapusan Hak Bumiputera kepada kerajaan yang diterima oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Wira Dr Md Farid Md Rafik yang turut disertai Menteri Pendidikan, Dr Mazlee Malik.

Turut sama dalam demonstrasi tersebut Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man dan beberapa ahli-ahli parlimen pembangkang.

Sementara itu, beberapa pemimpin akar umbi Umno turut kelihatan, selain aktivis Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan kumpulan pelajar pro-PAS Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS).

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy menyatakan kerajaan komited untuk mengesahkan enam triti hak asasi manusia termasuk ICERD pada suku pertama tahun depan.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan sebelum ini dalam kenyataannya menegaskan PAS membantah komitmen kerajaan tersebut berikutan pelaksanaan perjanjian yang dikatakan selaras dengan manifesto PH itu boleh mengakibatkan pelbagai ancaman khususnya melibatkan Perlembagaan Persekutuan. – HARAKAHDAILY 31/10/2018

ice3

ice2