LGBT meningkat: DPPM sedia bantu tangani

PERKEMBANGAN pesat golongan gay yang kini berjumlah 310,000 berbanding 173,000 pada 5 tahun dahulu menuntut langkah waspada dan serius semua pihak terhadap isu mencabar masa depan ini. Peningkatan setara juga tercatat pada golongan transgender kini berjumlah 30,000 berbanding 10,000 pada tahun 1988.

Advertisement

Statistik menggerunkan ini menunjukkan indeks tidak sihat terhadap sosial negara yang juga petanda aras terhadap kewujudan kepincangan pada aspek tertentu. Terutama kepada sistem pendidikan, kekeluargaan, keibubapaan dan kemasyarakatan. ‘Pembiakan’ LGBT ini seolah-olah menjadi api dalam sekam.

Ia sekali gus mengesah dan mewajarkan juga kuantiti pesakit HIV/AIDS yang semakin tinggi golongan ini lantaran gaya hidup mereka. Catatan kes merekodkan amalan dan tabiat seks songsang menjadi puncanya di mana merupakan 14 kali ganda berbanding kejadian HIV akibat dari perkongsian jarum suntikan kes dadah.

Ketika sama, faktor hambatan hidup berakibat dari desakan ekonomi yang menekan kos sara hidup rakyat dilihat antara sebab penyumbang gejala. Juga tumbuhnya pusat-pusat maksiat dan hiburan umpama cendawan selepas hujan. Mangsanya adalah anak-anak yang membesar di dalam acuan terpengaruh dan tidak terkawal ini.

Ditambah pula aspek pembangunan kerohanian dan agama yang diabaikan serta dikesampingkan selama ini menjadikan natijah tersebut sedang ditanggung negara sekarang. Namun, masih belum terlambat untuk semua pihak kembali ke pangkal jalan membetulkan norma dan nilai yang telah rosak ini.

Usaha bersungguh-sungguh mendekati dan memulihkan golongan ini menurut kaedah Islam pasti dapat menyelamatkan mereka. Ketika sama langkah pencegahan serta penerapan pendidikan berkaitan yang berpaksikan Islam, akhlak dan moral perlu digubal menjadi Dasar Pendidikan Negara.

Kami sedia menawarkan khidmat nasihat, tenaga sokongan dan kepakaran untuk sama-sama masalah ini ditangani dari terus membarah. Pendekatan bersama yang terancang, ikhlas dan menggembleng segala kemampuan serta pihak berautoriti lain perlu dan diyakini dapat menuju penyelesaian diharapkan.

“Islam Memimpin”
“Terus Mara”

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia
Adun Batu Buruk – HARAKAHDAILY 1/11/2018