Mujahid perlu henti beri persepsi salah

YB MUJAHID PERLU BERHENTI MEMBERI PERSEPSI YANG SALAH TERHADAP PERLAKSANAAN UNDANG-UNDANG SYARIAH DI MALAYSIA

Advertisement

YB Mujahid dalam penggulungannya di Parlimen telah memberi maklum balas terhadap perbahasan saya berkenaan Kajian Separuh Penggal RMK-11 yang menyentuh tentang hukuman sebat syariah.

YB Mujahid memaklumkan kepada dewan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak berniat untuk campur tangan urusan bidang kuasa kerajaan negeri, cuma dalam kenyataan media yang dikeluarkan sebelum ini, beliau hanya mahu memberikan pandangan bahawa mahkamah sewajarnya mempertimbangkan faktor mitigasi dan agravasi terhadap pesalah sebelum menjatuhkan sesuatu hukuman.

Saya berpendapat kenyataan sedemikian tidak wajar keluar daripada seorang menteri kerana ianya hanya menunjukkan bahawa beliau gagal memahami proses perundangan yang lazim dilakukan di mahkamah syariah di mana sudah menjadi kewajipan seorang hakim untuk melakukan pertimbangan berdasarkan fakta kes sebelum menjatuhkan sesuatu hukuman.

Kenyataan ini hanya memberikan persepsi yang salah kepada masyarakat seolah-olah hakim menjatuhkan hukuman sebat terhadap kesalahan jenayah yang tidak sepatutnya sedangkan hakim perlulah bebas membuat keputusan mengikut kebijaksanaan beliau selagi mana tiada salah laku dan tidak bersalahan dengan undang-undang.

Saya juga ingin menekankan bahawa dalam keadaan mahkamah telah pun melaksanakan peruntukan yang ada dengan cermat dan disaksikan hadirin yang lega serta berpuas hati dengan perlaksanaan, komen menteri dilihat sebagai mengandungi unsur-unsur berprasangka dalam keadaan beliau sendiri tiada di tempat kejadian dan sekadar mengulangi tohmahan-tohmahan liar yang tidak berasas.

Reaksi pertama beliau sepatutnya hanya boleh dibuat selepas laporan keseluruhan fakta kes sampai ke dalam pengetahuan beliau, dan perlu dilakukan secara berhati-hati agar tidak menjejaskan integriti mahkamah syariah.

Penting untuk umum memahami bahawa walaupun di mahkamah sivil hukuman sebatan hanya dijatuhkan ke atas pesalah bagi jenayah berat atau penjenayah tegar, mana mungkin perundangan syariah disamakan dengan perundangan sivil.

Pertimbangan yang sama tidak boleh dilakukan oleh hakim mahkamah syariah kerana sifat sebatan itu sendiri sudah berbeza. Di mahkamah syariah, hukuman sebatan bertujuan untuk mendidik, bukan menghukum seperti di mahkamah sivil. Oleh itu, keputusan yang dijatuhkan oleh hakim mahkamah syariah tidak boleh dilihat daripada sudut perundangan sivil.

5Saya bersetuju bahawa tidak salah untuk beliau memberi pandangan sebagai rujukan dan tambah baik pada masa hadapan, namun begitu tidak wajar bagi seorang menteri membuat pandangan balas yang memberikan persepsi yang salah kepada hakim syarie yang menjalankan tugas mengikut kuasa dan lunas undang-undang.

YB Mujahid perlu menguasai bidang tugas dan prosedur institusi dan agensi agama yang berada di bawah jagaannya sebelum memberikan pandangan yang bersifat peribadi dan prejudis hanya kerana ianya tidak mengikut nilai keadilan yang sama dengan undang-undang sivil.

Haji Ahmad Amzad Hashim
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
1 November 2018/ 23 Safar 1440 – HARAKAHDAILY 1/11/2018