PAS Kedah gesa siasat Kadir Jasin

DrAhmadFakh

ALOR SETAR: PAS Kedah mendesak supaya satu siasatan rapi oleh pihak berkuasa terhadap tokoh wartawan, Dato’ A. Kadir Jasin ekoran tulisan di blognya yang bertajuk ‘ Selamat Bertahta Al-Amirul Karim ‘.

Advertisement

Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkata, tulisan di perenggan akhir blog berkenaan didapati telah mengguris perasaan rakyat negeri ini selain berpontensi mewujudkan suasana tidak tenteram.

“Kenyataan itu bukan sahaja berpontensi mewujudkan suasana tidak tenteram di kalangan rakyat khususnya di Kedah malah ia mampu mencetuskan prasangka negatif terhadap institusi Di Raja dan Kesultanan Melayu,” ujarnya dalam satu kenyataan

Justeru itu, katanya PAS Kedah mendesak agar beliau segera memohon maaf terhadap KDYMM Tunku Sultan Kedah.

Selain itu, beliau juga melontarkan persoalan sama ada kenyataan yang dikeluarkan itu umpama ‘pukul anak sindir menantu’ ke atas Kerajaan Kedah hari ini kerana semua pengurusan istiadat pertabalan DYMM Tuanku adalah berada dalam pengetahuan kerajaan.

“Kita mengharapkan agar kenyataan seumpama ini tidak berulang pada masa hadapan dan tindakan membenterasnya segera dilakukan,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 2/11/2018