Hak milik tanah Jatti Meirek makin terhakis

KAUM Jatti Meirek merupakan penduduk asal bumiputera di bandar Miri. Miri terletak hampir dengan sempadan Brunei di timur laut Sarawak. Miri juga meliputi Pujut, (Unan) Bakam, Lopeng (Lufieng), Lutong, Bekenu, Kuala Baram (Long Utan), Sibuti, Marudi, Tutong Brunei, Temburong Brunei, dan Kuala Belait.

Advertisement

Kebelakangan ini, banyak tanah adat telah ditukar status menjadi tanah kerajaan dan ini sangat merunsingkan pewaris. Penduduk Jatti Meirek, Melayu dan Bumiputera yang tinggal di pinggir bandar Miri yang mewarisi tanah nenek moyang mereka telah kehilangan pemilikan kerana status tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) telah diubah menjadi tanah kerajaan. Malahan, ada tanah diberikan kepada pemaju dan syarikat perladangan untuk dibangunkan.

Dakwaan ini bukan satu cakap kosong, penduduk mampu membuktikan tanah mereka adalah tanah adat. Sebagai contoh, terdapat makam Dato ‘Permaisuri yang masih utuh di sebuah kawasan di Sungai Pujut, Miri bahkan Kerajaan Negeri Sarawak juga telah mewartakan makam itu sebagai pengiktirafan sumbangan beliau dalam membangunkan Islam di Miri.

Sekiranya terdapat tanah perkuburan lama di kawasan itu, adalah jelas bahawa kawasan itu telah dihuni oleh penduduk asal di mana kebanyakan mereka sebagai petani akan berpindah ke kawasan baru apabila kesuburan tanah yang terbiar akan ditumbuhi oleh hutan belukar (hutan sekunder).

Selain itu, berlaku juga di Bandaraya Miri di mana tanah warisan Jatti Miriek dan tanah orang Melayu diserahkan kepada pemaju kerana status tanah warisan menjadi tanah kerajaan atau zon campuran. Tanah ini pastinya boleh dijual atau dipindah milik kepada bukan Bumiputera untuk dibangunkan. Contoh kawasan terlibat adalah tanah warisan Jatti Meirek, Melayu, Kedayan, dan Bumiputra di Pujut Padang Kerbau, Pujut Adong, Tukau, dan kawasan sekitarnya yang telah diubah menjadi tanah kerajaan.

Kami, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Kawasan Miri turut mengambil inisiatif bertemu dan bertanya kepada pegawai di Jabatan Tanah Dan Ukur Miri mengenai status permohonan tanah yang dibuat oleh pewaris tanah Pujut.

Maklum balas yang kami perolehi daripada pegawai, statusnya telah berubah menjadi tanah kerajaan dan tanah itu telah diserahkan kepada Jabatan Perhutanan untuk dimajukan. Pegawai tersebut turut menyatakan bahawa kerajaan telah merancang untuk membangunkan kawasan tersebut sebagai tapak pertanian dan sebarang permohonan untuk tanah di kawasan itu tidak akan dilayan.

PAS Miri juga dimaklumkan bahawa tanah itu akan diserahkan kepada sebuah syarikat perladangan untuk dijadikan sebagai kawasan penanaman kelapa sawit dan pokok-pokok. Kini, tanah ini berada di bawah bidang kuasa Jabatan Perhutanan dan Jabatan Tanah dan Ukur tidak lagi bertanggungjawab. Selepas beberapa dekad pewaris tanah berusaha menuntut hak mereka di sana melalui Jabatan Tanah dan Ukur akhirnya gagal. Mereka akan terus menuntut hak mereka dari pihak kerajaan sehingga hak mereka dikembalikan semula.

Kini setelah menerima berita ini melalui surat dari Jabatan Tanah dan Ukur, harapan mereka akan menerima hak pemilikan hancur. Mereka juga dimaklumkan bahawa permohonan mereka tidak akan dipertimbangkan. Para pewaris ini tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan kerana mereka telah memohon tanah adat Jatti Meirek untuk jangka masa yang lama malahan ada yang telah meninggal dunia. Namun, Jabatan Tanah dan Ukur masih tidak memproses permohonan mereka. Pada akhirnya, ini jawapan yang mereka terima.

Lebih mendukacitakan, kenapa permohonan syarikat mendapat proses dan persetujuan yang lebih cepat daripada para penduduk yang telah lama cuba memohon secara sah? Di mana kepincangan yang berlaku sehingga tanah warisan boleh jatuh kepada tangan pemaju dan syarikat perladangan? Jabatan Tanah dan Ukur bertanggungjawab menjawab persoalan ini.

Kami diberikan jawapan bahawa tanah berstatus NCR ini berubah kepada tanah kerajaan kerana tanah ini tidak dituntut dalam semakan tanah di awal 80-an maka secara automatik ianya menjadi tanah kerajaan.

Namun, alasan ini masih tidak dapat memuaskan hati pewaris. Mungkin ketika itu,pada tahun 80-an penduduk tidak tahu bahawa tanah yang mereka usahakan dalam proses pemetaan. Bayangkan saluran maklumat dan hubungan komunikasi ketika itu. Adakah ini kesalahan penduduk yang mungkin kurang mendapat maklumat ketika itu?

Menurut laporan Borneo Utusan (Sarawak) pada 8 April 2017 “Kerajaan akan terus membantu orang Melayu untuk membangun tanah secara komersil tanpa melibatkan pertukaran pemilikan: KM”
Kerajaan akan terus membantu tanah milik kaum Melayu khasnya di bandar yang dibangunkan secara komersial agar dikekalkan pemilikannya serta tidak bertukar tangan. Ketua Menteri Datuk Amar Abang Zohari Tun Abang Openg berkata, pemilikan tanah orang Melayu berbeza dengan kaum-kaum lain yang mempunyai tanah Hak Adat Bumiputera (NCR). “Bagi tanah yang berstatus komersial, ia boleh dibeli oleh sesiapa sahaja dan kita (orang Melayu) perlu mempunyai cara kita sendiri untuk membangunkan tanah agar ia tidak bertukar tangan.

PAS Miri menggesa kerajaan terutamanya Ketua Menteri Sarawak untuk campur tangan bagi mengkaji dan mengembalikan hak tanah Miriek dan pemilik tanah Melayu Sarawak kepada pewaris mereka. Jangan biarkan tanah warisan ini jatuh ke tangan orang asing yang hanya berminat untuk mendapatkan keuntungan tanpa memikirkan nasib penduduk tempatan yang telah kehilangan hak mereka. Mereka layak hidup dengan tanah yang diwarisi oleh nenek moyang mereka. Penduduk ini juga memerlukan tanah untuk membina rumah di tempat mereka mencari rezeki yang kebanyakkannya berasaskan sumber pertanian.

Maka, PAS Miri berpendapat Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) wajar mengambil serius masalah tanah orang asal ini supaya pegangan hak mereka tidak hilang dan didominasi oleh pihak luar. Kerjasama dengan pihak yang berkaitan untuk menangani masalah ini amat dihargai. Kita tidak mahu, di akhir nanti kita hanya “menang sorak kampung tergadai” dan mangsanya adalah anak cucu kita.

Jofri Jaraiee
Pesuruhjaya PAS Sarawak – HARAKAHDAILY 3/11/2018