PTPTN: Potongan gaji beban anak muda

BERIKUTAN daripada ucapan Bajet 2019 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Malaysia di dewan Parlimen pada 2 November 2018 yang lalu, mahasiswa serta anak muda Malaysia dikejutkan dengan satu polisi yang sangat membebankan golongan yang berpendapatan rendah iaitu sistem potongan gaji secara automatik bagi peminjam PTPTN yang mempunyai gaji lebih daripada RM1000.00 sebanyak 2 peratus hingga ke 15 peratus.

Advertisement

Ini adalah polisi yang sangat membebankan anak muda khususnya buat mereka graduan muda yang terpaksa ikat perut untuk membina kehidupan secara berdikari selepas mereka menamatkan pengajian mereka.

PTPTN adalah sebuah perbadanan yang telah wujud sejak 1 Julai 1997 di bawah Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta566). Ia diwujudkan ketika Najib Razak menjadi Menteri Pendidikan dan Perdana Menteri pada waktu itu ialah Tun Dr Mahathir.

Sehingga ke 31 Januari 2017 Kerajaan Malaysia telah mengeluarkan dana sebanyak RM48.7 bilion dan daripada tempoh itu, kerajaan sepatutnya telah berjaya mengumpulkan dana daripada para peminjam sebanyak RM18.8 bilion.

Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya di mana hanya RM10.8 bilion dana yang berjaya dikutip.

Menurut Pengerusi PTPTN yang sebelum ini, Dr Shamsul Anuar seramai 2.6 juta peminjam yang tidak mampu untuk melunaskan hutang mereka dan daripada jumlah itu, sebanyak 663 ribu peminjam yang langsung tidak membayar hutang PTPTN walaupun satu sen.

Ini adalah permasalahan yang hakiki dan sepatutnya Kerajaan PH memahami masalah golongan anak muda yang tidak mampu untuk membayar hutang PTPTN dan mengambil sikap membantu rakyat bukannya mengambil kesempatan di atas kelemahan atau kesempitan ekonomi anak muda.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Statistik Tenaga Buruh Malaysia 2017, kadar pengangguran kian meningkat bagi setiap tahun iaitu 3.5 peratus bagi tahun 2017 berbanding 3.1 peratus bagi tahun 2015.

Di samping itu, menurut data kajian yang dilakukan oleh KPT (Kajian Pengesanan Mahasiswa, 2015), sebanyak 54 peratus mahasiswa yang mampu berkerja hanyalah mempunyai gaji RM2000 dan ke bawah.

Menurut data di atas, kita dapat memahami bahawa majoriti anak muda Malaysia tidak mempunyai gaji yang besar dan apabila polisi potongan gaji sebanyak 2 peratus hingga 15 peratus ini diperkenalkan, ia bakal menambah beban anak muda untuk terus hidup mendepani cabaran kos sara hidup yang tinggi khususnya buat mereka yang memulakan hidup mereka di kawasan bandar.

Kos sara hidup yang tinggi, nilai mata wang Malaysia yang rendah, dan peluang pekerjaan tenaga mahir yang rendah dan pendapatan (gaji) yang rendah bagi graduan baru adalah beban sedia ada yang terpaksa dihadapi oleh anak muda Malaysia hari ini.

Kerajaan PH seolah-olah telah melupai tujuan perjuangan mereka untuk membela nasib golongan graduan dan golongan berpendapatan rendah apabila sudah menikmati gaji-gaji yang menggunung selepas menjadi Menteri di dalam Kerajaan Malaysia.

Bebanan ini juga bakal memberikan kesan domino iaitu akan lebih ramai anak muda lepasan SPM yang datang daripada keluarga yang berpendapatan rendah takut untuk menghantar anak mereka ke pengajian yang lebih tinggi ekoran daripada beban hutang yang sangat menekan dan menzalimi golongan yang berpendapatan rendah.

Kerajaan sepatutnya menyediakan satu mekanisme yang tuntas untuk membantu rakyat keseluruhan sama ada mereka miskin atau kaya untuk mendapat pendidikan tanpa yang ada yang didiskriminasi selaras dengan Perlembagaan Malaysia Perkara 12.

Kami mahasiswa konsisten mengatakan bahawa kerajaan wajib membantu rakyat untuk menikmati pelajaran bermula daripada pengajian rendah hinggalah ke pengajian yang tertinggi.

Kami meyarankan kerajaan untuk mengambil inisiatif seperti berikut:

1.     Hapuskan hutang PTPTN bagi semua rakyat Malaysia.

2.     Wujudkan Perbadanan Tabung Wakaf Pendidikan Negara untuk menampung kos pendidikan Malaysia.

3.     Potong gaji Menteri-menteri dalam kerajaan, lantikan-lantikan politik, serta CEO GLC Kerajaan sebanyak 40 peratus untuk menampung kos pendidikan negara.

4.     Memberikan fokus kepada sektor pendidikan daripada belanjawan negara sebanyak 45 peratus daripada bajet keseluruhan negara.

Sekian. Terima kasih.

“Istiqamah Bersama Islam”

Oleh :
MUHAMMAD FAIZZUDDIN MOHD ZAI
Presiden, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) 

24 Safar 1440H | 4 November 2018M – HARAKAHDAILY 4/11/2018