LGBT: Muslimat berbengkel sedia tubuh sukarelawan

BANGI: Lajnah Pendidikan dan Lajnah Dakwah Dewan Muslimat PAS Malaysia telah mengadakan Bengkel Menangani LGBT melibatkan 55 peserta termasuk dari Sabah dan Sarawak yang diadakan di sini kelmarin dan semalam.

Advertisement

Program anjuran bersama Persatuan Bimbingan dan Sokongan Muslim (AMNA) itu telah mendedahkan para peserta kepada empat sesi pembentangan tokoh dan pakar, selain latihan mengenai teknik untuk menangani kes-kes LGBT.

Topik utama diikuti peserta adalah “Pengenalan Fenomena LGBT” oleh Pensyarah Pendidikan Kaunselor dan Psikologi Kaunseling Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Siti Aishah Hassan.

Juga “LGBT Menurut Perspektif Islam” oleh Pensyarah Undang-undang Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Safinar Salleh dan “Kes-kes Lesbian Positif dan Negatif” oleh Pakar Psikiatri, Dr Ahmad Rostam Md Zin.

Kaunselor, Hushim Salleh turut menyampaikan perkongsian bertajuk “Pengalaman Kes LGBT”, selain keempat-empat pakar turut membarisi panel forum “Panduan Menangani Kes LGBT Mengikut Tahap Kes”.

Bengkel ini bertujuan ke arah merintis penubuhan kumpulan sukarelawan daripada PAS untuk membendung masalah LGBT yang semakin membarah dalam negara.

Lanjutan bengkel ini akan diadakan siri susulan mengikut fokus dan sasaran bagi memastikan Muslimat PAS menggalas arahan Presiden PAS iaitu “Dewan Muslimat perlu mendepani isu masyarakat dan menyentuh hati nurani mereka”. – HARAKAHDAILY 7/11/2018