Banjir: Cabaran penoreh getah, nelayan

JANGKAAN musim tengkujuh akan melanda Semenanjung Malaysia pada bulan Oktober 2018 hingga Mac 2019 amat membimbangkan para penoreh getah.

Advertisement

Ini dijangka akan melibatkan kira-kira 194,571 pekebun kecil dan penoreh getah di seluruh negara dan melibatkan hampir 90,000 orang nelayan di Malaysia. Hasil laut ini merupakan sumber utama bagi rakyat Terengganu khususnya di Parlimen Setiu.

Namun begitu, pembentangan belanjawan baru-baru ini langsung tidak menyentuh bantuan sara hidup kepada nelayan mahupun penoreh terutama pada musim tengkujuh.

Amat tidak wajar sekali kerajaan mengetepikan golongan tersebut kerana golongan ini akan menghadapi masalah tersebut hampir setiap tahun.

Selain daripada bantuan tersebut, kerajaan juga seharusnya memikirkan nasib rakyat penoreh getah yang harga getah tidak stabil. Harga getah pernah mencapai RM10 sekilogram, malangnya, harga getah yang terapung-apung akhir-akhir ini hanya mencapai RM2.30 per kilo.

Hasil yang tidak memberansangkan sebelum tibanya musim bencana alam tersebut memberi kesan kepada mereka. Akibatnya, rakyat terpaksa mengikat perut bagi menghadapi musim tengkujuh.

Kekecewaan turut dilontarkan oleh salah seorang penoreh getah dengan kerajaan yang hanya menyentuh pasal hutang negara sehingga banyak perkara lain seperti golongan penoreh getah dan pekebun kecil ini diabaikan. Sungguhpun hutang negara penting untuk diberi keutamaan, tetapi hak rakyat juga tidak patut diketepikan.

Sehubungan dengan itu, saya mendesak pihak kerajaan agar tidak mengetepikan hak penoreh mahupun nelayan.

Pemberian inisiatif bantuan musim tengkujuh tidak patut didiamkan dan pihak kerajaan juga seharusnya mengawal harga getah agar penoreh tidak mempunyai masalah sebelum musim tengkujuh sekali gus dapat meningkatkan sumber pendapatan mereka.

“Islam Memimpin”

YB SHAHARIZUKIRNAIN ABDUL KADIR
Ahli Parlimen Setiu
8 November 2018 | 30 Safar 1440 – HARAKAHDAILY 8/11/2018