Keluarkan Sabah dari mundur, miskin

aminudin aling

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) Sabah mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Mohd Shafie Apdal atas keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang mengesahkan bahawa Shafie adalah Ketua Menteri Sabah yang sah.

Advertisement

PAS Sabah mengharapkan keputusan ini akan memberi laluan kepada kerajaan baru untuk menumpukan tugas kepada pembangunan negeri Sabah.

Sabah sudah terlalu lama berada di takuk kemunduran dan kemiskinan. Bila bercakap soal kemiskinan, ia akan tertumpu di negeri Sabah. Sama juga jika berbicara mengenai kemunduran, Sabah juga yang paling ketara dengan kemundurannya.

Kerajaan baru yang dipimpin oleh Shafie mesti mengeluarkan Sabah dari kepompong ini. Sabah mesti diangkat selari dengan wilayah lain dalam Malaysia.

Antara tumpuan penting yang mesti menjadi tumpuan kerajaan baru adalah pembangunan luar bandar, sektor pendidikan, keadilan sosial dan kualiti infrastruktur. Tidak dinafikan bahawa kerajaan sebelum ini juga ada melaksanakan pelbagai program pembangunan tetapi kebanyakannya tidak mengenai golongan sasar. Sebagai contohnya, masih terdapat kawasan luar bandar yang tidak mempunyai jalan raya sempurna yang sangat menyukarkan orang kampung untuk akses kepada sekolah ataupun sukar untuk memasarkan hasil pertanian mereka.

Dalam konteks pembangunan jangka panjang, PAS yakin Sabah boleh menjadi model negeri pertanian yang maju. Dengan keluasan tanah yang ada dan insentif tambahan daripada pihak kerajaan, kami yakin matlamat ini boleh dicapai.

MOHD AMINUDDIN ALING
Pesuruhjaya PAS Sabah
8 November 2018 – HARAKAHDAILY 8/11/2018