Bajet Kedah 2019 lebih kepada kitar semula

fakhrudin

SEKALI lagi pembentangan Bajet Kedah 2019 dilihat lebih menonjolkan projek gajah putih seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KLX), Bandaraya Getah Kedah (KRC), Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP) dan Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) Kota Perdana berbanding perancangan untuk kesejahteraan rakyat.

Advertisement

PAS Kedah menyifatkan pembentangan itu tidak lebih sekadar mengitar semula perancangan yang kononnya lebih realistik dan mengabaikan golongan yang perlu mendapat pembelaan

Rakyat sebenarnya hampa apabila melihat pendirian kerajaan hari ini tidak serius menangani isu kos sara hidup, kehidupan petani, peladang dan nelayan malah tidak mampu untuk memperjuangkan hak golongan penoreh yang mewakili 23 peratus penduduk Kedah di mana mereka terbelenggu dengan kesempitan akibat harga getah yang terlalu rendah sejak sekian lama.

Selain itu terdapat juga beberapa persoalan seperti peruntukan sebanyak RM4 juta kepada program pembangunan belia dan berapakah nilai program Bandar Belia serta mekanisma pembinaan litar lumba yang diwar-warkan sehingga mencecah RM70 juta dan lain-lain lagi.

Daripada beberapa projek mega hanya SBEZ di Bukit Kayu Hitam disebut dengan jelas oleh Menteri Kewangan, LGE di dalam pembentangan bajet kerajaan persekutuan yang memperuntukan sejumlah RM25 juta. Projek KLX lansung hanyut tidak dinyatakan.

Malah rakyat tertanya-tanya berapa ramaikah pekerja tempatan atau luar negara yang berkhidmat di KRC dan KSTP sejak mula beroperasi, selain jumlah perbelanjaan peruntukan yang telah diumumkan kerajaan terdahulu?

Sehubungan itu PAS juga melihat kerajaan Pakatan Harapan Kedah lebih hanya mengekalkan konsep bajet belanjawan defisit negeri, walaupun merekalah yang sering mengkritik kaedah penyediaan bajet seumpama itu.

Namun begitu PAS Kedah tetap konsisten menerusi para Adunnya untuk membangkitkan hal-hal berkaitan kesejahteraan rakyat, pembangunan negeri serta kecekapan kerajaan selain memberi input untuk kebaikan rakyat.

DR AHMAD FAKHRUDDIN FAKHRURAZI
Pesuruhjaya PAS Kedah
12 November 2018 – HARAKAHDAILY 12/11/2018