Projek siap masih ada dalam Bajet 2019?

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir sewajarnya lebih meneliti isi kandungan pembentangan Bajet 2019 sebelum diumumkan untuk mengelak berlakunya kesilapan yang memperlihatkan kelemahan pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan beliau.

Advertisement

Bercakap kepada media petang tadi, Muhammad Sanusi Md Nor (PAS-Jeneri) berkata, peruntukan infrastruktur sebanyak RM66.9 juta melibatkan projek titi di Sungai Beruk dan Kuala Pegang menimbulkan persoalan memandangkan dua projek berkenaan telah pun siap sepenuhnya dan telah berfungsi sebelum PRU lalu.

“Titi Sungai Beruk itu berada di Dun saya iaitu Jeneri, titi itu telah siap di samping kelengkapan lampu dan round about besar telah boleh digunakan sebelum PRU ke-14 lalu, begitu juga dengan titi di Kuala Pegang, Baling.

“Kesilapan meletakkan bajet kepada projek yang telah siap merupakan satu kesilapan yang besar dan sewajarnya para exco dan pegawai harus bertanggungjawab dan tidak meletakkannya kepada Menteri Besar sahaja.

“Kemungkinan beliau (MB) sibuk dan tidak sempat untuk meneliti namun para pegawai dan lain-lainnya boleh berbuat demikian,” ujarnya selau Ketua Pembangkang Dun Kedah. – HARAKAHDAILY 12/11/2018