Dr Khairuddin dipilih Ahli Majlis Pentadbiran IFIP

takiri1

ISTANBUL: Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali telah dipilih selaku ahli majlis Pentadbiran Forum Antarabangsa Ahli Parlimen Islam (IFIP) yang bersidang di sini baru-baru ini.

Advertisement

Dr Khairuddin atau lebih dikenal mesra dengan panggilan Dr Takiri berasal dari Seberang Takir, adalah ahli Parlimen yang lantang menyuarakan isu-isu pembebasan Palestin sama ada di Dewan Rakyat mahupun dalam pentas antarabangsa.

Beliau juga mantan pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan kini salah seorang Ahli Majlis Syura Ulamak PAS Pusat selain Pengerusi Lajnah Pembangunan Usahawan dan Ekonomi PAS Pusat.

Muktamar kecam sikap Israel dan sekutu

Muktamar Kali Ke-3 bagi Forum Antarabangsa Ahli Parlimen Islam mengemukakan kecaman mereka terhadap usaha-usaha normalisasi oleh rejim zionis dan menuntut ia dihentikan serta merta sama ada secara rasmi mahupun tidak rasmi.

Muktamar yang berlangsung di Istanbul, Turki itu bertajuk ‘Tanggungjawab Parlimen dan Cabarannya’.

Muktamar tersebut turut menolak kehendak beberapa buah negara yang mahu memindahkan kedutaan Amerika Syarikat ke Al-Quds sambil menegaskan bahawa bumi itu suci serta selamanya menjadi ibu negara Palestin.

Muktamar itu juga menzahirkan rasa simpati atas jenayah pembunuhan terhadap wartawan warganegara Arab Saudi, Jamal Khashoggi.

Dalam masa yang sama menuntut siasatan segera dan hukuman ke atas pelaku tanpa sebarang pengecualian selain mahu liputan penuh diadakan sepanjang perbicaraan kes berlangsung.

Sepanjang muktamar tersebut, beberapa ketetapan telah berjaya dicapai.

Antaranya pemilihan majlis pentadbiran baharu diketuai ahli parlimen dari Algeria, Abdelmajid Mensara; ahli parlimen dari Kuwait, Naser Al-Sana, sebagai timbalan; ahli parlimen dari Indonesia, Juzaili Juwaini, sebagai naib; dan setiausaha agungnya, Amin ‘Alush yang juga seorang ahli parlimen.

Para hadirin turut memilih tiga orang wanita dari Maghribi, Sudan dan Jordan untuk menganggotai majlis pentadbiran.

Malah muktamar turut menzahirkan komitmen untuk meluaskan keahlian forum tersebut ke negara-negara Afrika dan Asia dan penyertaan semua ahli parlimen yang mempunyai objektif yang sama dari pelosok dunia.

Selain itu, muktamar juga menyeru pembebasan ahli-ahli parlimen Mesir yang dipenjarakan serta mahu mereka dibersihkan dari tuduhan salah yang dikenakan secara zalim dan atas sebab permusuhan.

Muktamar juga menuntut para ulamak, aktivis, pakar politik dan media diberikan kebebasan bersuara di seluruh Dunia Arab dan Dunia Islam.

Muktamar tersebut juga menyeru agar sebarang peperangan dan pembunuhan dihentikan.

Selain itu mereka juga menuntut usaha damai dengan cara politik, gencatan senjata dan menghalang keganasan serta ekstrimisme selain menyeru agar semua negara dan rakyatnya bersatu padu. – HARAKAHDAILY 13/11/2018