T’ganu bakal sedia bajet berimbang

KUALA NERUS: Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, memberi gambaran awal bajet berimbang bakal disediakan pada tahun 2019.

Advertisement

Katanya, oleh kerana tahun 2019 merupakan tahun pertama kerajaan baharu negeri Terengganu, belanjawan seimbang dapat disediakan.

“Bajet pada kali ini (2019) insya-Allah, ‘Bajet Berimbang’. Dia ada bajet defisit, surplus dan ini bajet berimbang.

“Ini adalah tahun yang pertama setelah pemerintahan baharu di negeri Terengganu. Ini tentulah bahawa, sedaya upaya untuk menunaikan janji dalam Manifesto PRU14,” ujarnya dalam satu sidang media selepas program Back to School 2019, anjuran Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) di Mydin Mall, Gong Badak, di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Noor Fadzil Mohamed Nor, Pengurus Besar Perancangan Korporat, Pembangunan, Komunikasi dan Projek Khas EPIC, Abdul Adzim Abd Hamid dan Pengurus Besar Sumber Manusia dan Pentadbiran EPIC, Rusdi Ngah.

Bahkan, Dr Samsuri turut memberi jaminan bahawa 70 peratus janji manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu, dapat dilaksanakan pada tahun 2019.

“Saya boleh beri jaminan dari 20 perkara yang dijanjikan itu, hanya tiga atau empat lagi yang kita tidak laksanakan dalam bajet 2019 ini.

“Jadi itu akan kita bawa semula pada tahun-tahun yang akan datang. Ini kerana, ianya melibatkan kajian dan melibatkan cara pelaksanaan.

“Kita cubalah tahun yang pertama (2019) ini. Tahun 2019 ini, mungkin kita telah berjaya melaksanakan 70 peratus apa yang kita (PAS) janjikan itu,” tegasnya.

Menurutnya, pembentangan Bajet 2019 itu akan dibawa dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu pada 25 hingga 29 November ini.

Justeru, kata Menteri Besar Terengganu, Bajet 2019 yang akan dikemukakan itu mengambil kira sumber hasil pendapatan royalti minyak dan gas. – HARAKAHDAILY 13/11/2018