Terima sijil badal haji allahyarham Nazirah

KUALA LUMPUR: Badan bukan kerajaan (NGO) Skuad Prihatin telah menerima penyerahan sijil badal haji allahyarham Nazirah Nasrun yang dikendalikan oleh syarikat haji dan umrah Al-Munawwarah Services.

Advertisement

Penyerahan tersebut dibuat oleh Pegawai Operasi Syarikat Al-Munawwarah Services, Ustaz Muhammad Aliff Shaffie kepada Pengerusi Skuad Prihatin, Abu Bakar Sedek di Syarikat Al-Munawwarah, Seksyen 10 Wangsa Maju, di sini pagi tadi.

(Foto atas: Dari kanan, Pegawai Operasi Syarikat Al-Munawwarah Services, Ustaz Mohd Aliff Shaffie menyerahkan sijil badal haji kepada Pengerusi Skuad Prihatin, Abu Bakar Sedek disaksikan oleh timbalannya, Cikgu Yusoop.)

Menurut Abu Bakar yang mewakili allahyarhamah Nazirah berkata, pihaknya bersama Lajnah Kebajikan PAS Wilayah Persekutuan telah bekerjasama membuat kutipan dana untuk bayaran upah badal haji Nazirah pada tahun ini.

“Sijil ini telah diserahkan oleh Syarikat Al-Munawwarah, kami merancang dalam masa terdekat ini untuk diserahkan sijil ini secara rasminya kepada ibu arwah yang tinggal di Alor Setar, Kedah.

“Alhamdulillah telah selesai, tarikh penyerahan kepada keluarga arwah akan dimaklumkan dalam masa terdekat ini yang mana penyerahan ini juga kita akan buat bersama Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Kedah,” katanya kepada Harakahdaily.

Ujarnya, Skuad Prihatin di bawah Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS merasa terpanggil untuk menunaikan kewajiban allahyarhamah Nazirah yang juga merupakan bekas wartawan Harakah sebagai membalas sumbangan allahyarhamah yang aktif membuat liputan aktiviti-aktiviti kebajikan badan NGO tersebut.

Allahyarhamah Nazirah Nasrun merupakan bekas wartawan Harakah telah menghembuskan nafas terakhir pada 24 Julai di Hospital Serdang selepas disahkan menderita sakit kanser tahap empat.

“Kami menghargai jasa allahyarhamah, sebagai penghargaan kami kepadanya kami sudi menunaikan tanggungjawab allahyarhamah dalam rukun Islam kelima,” katanya.

Skuad Prihatin adalah antara badan NGO yang aktif dalam aktiviti khidmat sosial, melakukan kerja-kerja khidmat masyarakat bagi membantu golongan yang tidak berkemampuan dan susah berbekalkan sumbangan wang ringgit dari orang ramai.

Sesiapa yang ingin menyumbang ke Skuad Prihatin boleh berbuat demikian di akaun Dana Kebajikan Kecemasan Wilayah Persekutuan Maybank 564548143374. – HARAKAHDAILY 13/11/2018