Belanjawan 2019 senasib manifesto PH?

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2019 yang pertama kali dibentangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan dibimbangi akan senasib dengan janji manifesto PH yang ternyata menjadi suatu yang menakutkan rakyat.

Advertisement

Ahli Parlimen Pasir Puteh, Dato’ Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata belanjawan pada kali ini dilihat akan menerima nasib yang hampir sama dengan buku manifesto PH pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas.

“Ini dapat dilihat unjuran ekonomi yang dijangka oleh pihak kerajaan bagi tahun 2019 sebanyak RM261.8 billion berasaskan kepada keuntungan yang akan dicapai oleh Petronas, di mana unjuran pencapaian ini dianggap sangat meleset.

“Petronas yang dijangkakan dalam ucapan yang dikeluarkan oleh negara-negara pengeluar minyak utama dunia semalam daripada Qatar, Arab Bersatu dan Arab Saudi yang meletakkan ramalan pada tahun 2019 unjuran kepada keuntungan syarikat-syarikat minyak ini akan menjunam turun. Hal ini menjadi kebimbangan mereka,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2019 di dalam Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, sekiranya unjuran ekonomi negara menjunam, sudah tentu hasil RM261.8 billion yang disasarkan oleh pihak kerajaan tidak akan tercapai.

Katanya, sekiranya kerajaan melaksanakan agenda ini, negara terpaksa menanggung hutang yang sangat tinggi dan hutang yang sentiasa disebut mencecah RM1 trilion akan menjadi kenyataan.

Dalam masa yang sama, beliau mengatakan tema belanjawan Malaysia Wibawa Ekonomi Dinamik Rakyat Sejahtera yang dibentangkan sangat bagus tetapi masih tidak nampak satu usaha yang bersungguh-sungguh dilakukan oleh pihak kerajaan setakat tempoh enam bulan memerintah negara.

Nik Zawawi juga berkata, belanjawan pada kali ini tidak memberi fokus kepada golongan sasar yang sepatutnya diberikan iaitu kepada golongan petani, nelayan, buruh kasar dan seumpamanya.

“Walaupun kita lihat isu ini memberi kesan kepada golongan bawahan di dalam negara Malaysia, tetapi perlu kita ingat bahawa isu ini akan memberi kesan yang besar kepada pertumbuhan ekonomi negara dan kesannya kepada pelabur-pelabur asing yang bakal akan datang ke negara kita,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 14/11/2018