ICERD agenda hapus hak dan keistimewaan

KUALA LUMPUR: Usaha meratifikasi ICERD kerana wujud tuntutan dibuat segelintir pihak kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk menghapus segala hak dan keistimewaan yang terdapat di dalam Perlembagaan Persekutuan, demikian menurut Timbalan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Kamaruzaman Mohamad.

Advertisement

Katanya, gerakan tersebut adalah daripada dalam negara sendiri terdiri dalam kalangan NGO dan individu yang melobi untuk Malaysia meratifikasi ICERD kerana mereka mahu menghapus hak keistimewaan diberi kepada Islam, Melayu serta Bumiputera Sabah dan Sarawak.

Bidasnya, tuntutan tersebut sangat tidak berasas, sedangkan Raja-raja, kaum Melayu serta Bumiputera Sabah dan Sarawak telah berkorban memberi hak mereka untuk menerima kerakyatan bagi kaum pendatang daripada bangsa Cina dan India.

“Mereka memaklumkan kepada PBB berlaku diskriminasi kaum di Malaysia. Sedangkan, kedudukan ekonomi Melayu lebih rendah dalam negara ini berbanding kaum lain. Bagaimana sebuah negara yang majoriti Melayu, penguasaan ekonomi kaum ini paling rendah?

“Yang menguasai ekonomi jauh lebih besar pula mendakwa mereka didiskriminasi. Bagi saya, ini satu tuduhan yang sangat jahat, tidak berasas dan suatu cubaan untuk menimbulkan keadaan tidak aman dan sejahtera dalam negara,” ujarnya pada temubual bertajuk “Melayu dan Islam diancam” bersama NTH Online Media, di sini kelmarin.

Menurut beliau, sekiranya ICERD ditandatangani, negara terpaksa menerima dan mengadaptasi segala konvensyen di dalamnya, juga terdedah kepada campur tangan negara asing yang boleh menuntut dan memaksa patuh perkara berkaitan.

Kamaruzaman turut meluahkan kekesalannya terhadap pihak Kerajaan PH yang tidak membawa cadangan ratifikasi itu sebagai usul untuk dibahas di Parlimen terlebih dahulu.

“Saya melihat usaha ini sangat jahat dan licik. Ia cubaan untuk hapuskan Perkara 152, Perkara 153, Perkara 3 dalam Perlembagaan Persekutuan secara halus dengan tandatangan ICERD ini. Bila tandatangan, ia telah membuka ruang untuk mereka ‘usik’ perkara-perkara dalam Perlembagaan pula.

“Ada peruntukan dalam ICERD ini menyebut, sekiranya dua pertiga negara yang menandatanganinya tidak bersetuju dengan keadaan yang berlaku dalam (sesuatu) negara (lain itu), mereka boleh bawa kes ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

“Sudah tentu kita tidak mahu benarkan atau buka ruang orang usik Perlembagaan kita dengan menandatanganinya. Tak boleh berlaku. Lagipun tidak ada dakwaan pun dari PBB dan sebagainya yang kita pernah mendiskriminasi kaum sebagaimana dicerita dan dilobi pihak-pihak tersebut,” hujah beliau.

Bidasnya juga, mereka yang menuduh pembantah ICERD sebagai tidak memahami konvensyen itulah sebenarnya tidak faham kerana ulasan berkaitan telahpun diberikan oleh pakar-pakar perundangan negara dan berpengalaman.

Tegas Kamaruzaman, beliau lebih yakin dengan ilmu perundangan dimiliki tokoh seperti bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad berbanding Menteri ‘cap ayam’ yang tidak tahu dan bukan berkelulusan perundangan.

Tempelaknya, Menteri itu telah mempersembahkan lawak jenaka dan menimbulkan polemik, namun rakyat tetap waras menilai kredibiliti mereka yang sering berubah pendirian serta tidak memperakui kepakaran pihak lain.

“Dia memperkecilkan pandangan bekas Ketua Hakim Negara. Dia sebenarnya tidak faham ICERD. Sepatutnya dia dapatkan pandangan pakar-pakar. Tetapi kerajaan hari ini merasakan mereka pakar dalam segala hal dan mengenepikan pandangan pakar bila tidak sehaluan dengan mereka,” bidasnya. – HARAKAHDAILY 14/11/2018