ICERD: Bakal hakis hak anak Sabah

RATIFIKASI ICERD atau International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination yang dicadangkan untuk disahkan oleh sesetengah pihak untuk diterima di negara ini akan memberi implikasi yang besar dalam menghakis hak istimewa khususnya kepada bumiputera ataupun anak Negeri Sabah.

Advertisement

Triti ini dilihat bercanggah dengan Perjanjian Malaysia 1963 yang telah didaftarkan di sekretariat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 21 September 1970 yang menjamin hak kaum bumiputera di Sabah termasuklah dalam soal dasar Borneonisasi yang termaktub dalam perjanjian tersebut.

Kita juga mengambil maklum pandangan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad pada 09 November 2018 lepas di dalam suatu artikel yang menyatakan pengesahan Malaysia terhadap ICERD ini dengan rasminya, menerima kandungan konvensyen itu.

“Maka semua undang-undang kita, termasuk Perlembagaan, akan terpaksa dipinda atau dimansuhkan. Segala peruntukan yang memberi keistimewaan kepada orang Melayu dan anak Negeri Sabah dan Sarawak hendaklah dimansuhkan atau dipinda.”

“Pelantikan ke jawatan dalam perkhidmatan awam, pemberian biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya atau kemudahan khas lain yang diberikan atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan, dan pemberian permit atau lessen dan sebagainya, tidak boleh mengikut kuota orang Melayu dan anak Negeri Sabah dan Sarawak lagi.”

Maka, kami berpandangan bahawa ICERD ini akan mencabuli hak istimewa kami seluruh anak Negeri Sabah yang dijamin dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan turut termaktub di dalam Perlembagaan Negeri Sabah Perkara 41 (1) yang memperuntukkan berkaitan melindungi kedudukan anak Negeri.

Justeru itu, kepimpinan di peringkat PAS Sabah yang keseluruhannya merupakan anak jati negeri ini menyedari akan bahayanya kandungan konvensyen tersebut dan akan berusaha mempertahankan hak istimewa anak negeri sehabis mungkin.

“Islam Memimpin”

ZULZAIM HILMEE ABIDIN
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah
14 November 2018 – HARAKAHDAILY 14/11/2018