PTPTN: Demo jalanan tuntut PH tunai janji

KUALA LUMPUR: Satu demonstrasi jalanan anjuran Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) menuntut kerajaan Pakatan Harapan menunaikan janji manifesto memansuhkan PTPTN berarak pagi ini.

Advertisement

Kelainan demonstrasi kali ini adalah beberapa peserta demonstrasi berpakaian lengkap jubah konvokesyen lengkap dengan topi mortar board.

Mereka dilihat menggantung plakad “Tuntut Janji PTPTN” bertulisan warna merah.

Tindakan ini diadakan atas rasa tidak puas hati kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana tidak dapat menunaikan janji berkaitan penangguhan bayaran balik pinjaman bagi peminjam bergaji bawah RM4,000 seperti yang diumumkan dalam manifesto PH.

“Hari ini kami golongan anak muda kami tak ada ‘political will’ kami tak ada duit kami adalah golongan anak muda yang paling miskin kami tidak boleh minta apa-apa kepada kerajaan jadi kami berjalan daripada UM (Universiti Malaya) ke Parlimen.

“Maszlee (Menteri Pendidikan) telah berjanji nak jumpa dengan kita,” kata Presiden Gamis, Faizuddin Zai yang berhasrat menemui menteri itu untuk menyerahkan memorandum bantahan mendesak kerajaan menunaikan janji tersebut.

Dilaporkan kumpulan mahasiswa ini masih sedang bergerak sejauh 9 kilometer dari Universiti Malaya menghala ke parlimen sambil dipantau anggota Polis Diraja Malaysia. – HARAKAHDAILY 14/11/2018