Duit luar bandar, belanja di bandar

KERAJAAN kata kerajaan tak ada wang. Tapi Belanjawan 2019 adalah paling besar dalam sejarah mengalahkan belanjawan pilihan raya 2018 yang digelar ibu segala belanjawan. Defisit fiskal paling besar.

Advertisement

Tak cukup duit yang dibuat bukan tingkatkan hasil, tapi perkenal sistem cukai SST yang ruang terbuka sembunyi elak cukai oleh peniaga-peniaga yang licik.

Untuk tampung semua itu yang jadi sasaran adalah wang Petronas. Tak cukup dividen biasa dikenakan lagi Dividen Khas RM30 bilion untuk Kerajaan Persekutuan belanjakan.

Petronas ini berniaga petroleum. Hasil operasi asing bukan besar. Yang banyak adalah yang disedut dari perut bumi Negeri-negeri Terengganu, Kelantan, Sarawak dan Sabah.

Tak cukup duit pandai ambil duit petroleum. Tapi royalti yang dah menjadi hak negeri pengeluar tidak dibayar!

Memang melukakan hati Belanjawan 2019 sangat jelas belanjawan orang bandar, bukan negeri-negeri mundur luar bandar. Dana penyelamat dari Petronas hasil mahsulnya dari negeri ‘bukan bandar’ ini. Kami tahulah DAP pengaruhnya di kawasan bandar!

Retorik Pembangunan Wilayah Seimbang? Sembang sajalah.

Saya tak nampak inisiatif baru dalam Bajet 2019 yang boleh menampung belanjawan selain dividen khas Petronas. Cukai-cukai baru yang diperkenalkan tak sebesar mana hasilnya. Tambahan lagi asyik terlepas pasaran sawit kita kepada Indonesia dalam keadaan bajet pembangunan industri komoditi dipotong banyak.

Ini saya tengok bajet tahun ini belum ada peruntukan pampasan pembatalan pelbagai projek mega berbilion ringgit. Yang ada pampasan AES. Pampasan Tol pun tiada. Itu dalam belanjawan tambahan nantikah atau belanjawan tahun berikutnya? Cari Petronas lagi?

Dalam jawapan bertulis kepada soalan lisan saya di Parlimen berkait usaha kerajaan mendapat wang melalui asset monetisation (penjualan aset), kerajaan sedang menyenaraikan aset-aset milik kerajaan yang berpotensi untuk dijual.

Saya bersembang dengan seorang kawan, driver teksi. Dia kata kalau tak cukup duit pecah tabung (Petronas), jual harta, cari ceti (hutang), nenek dia pun boleh jadi Perdana Menteri! – HARAKAHDAILY 15/11/2018