Halang usaha PH ratifikasi ICERD

KOTA BHARU: Rakyat Kelantan diajak menghadiri perhimpunan aman membantah usaha kerajaan Pakatan Harapan (PH) meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Advertisement

Ketua Penerangan Pemuda PAS Kelantan, Nazman Che Iberahim berkata, himpunan itu akan diadakan di perkarangan Masjid Muhammadi selepas solat Jumaat esok.

Katanya bantahan itu diadakan untuk memberi kesedaran kepada seluruh rakyat Kelantan mengenai bahayanya ratifikasi ICERD.

“Bantahan itu juga sebagai isyarat umat Islam kepada kerajaan PH yang sewenang-wenangnya menggunakan Parlimen untuk melampiaskan kepentingan sesetengah pihak,” katanya di sini.

Himpunan itu dijangka dihadiri Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi, Ketua Dewan Pemuda PAS, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari dan Ketua Penerangan Umno Kelantan, Dato’ Zawawi Othman.

Selain itu pimpinan Pergerakan Pemuda Umno dan NGO juga akan hadir.

Nazman juga berkata, kehadiran orang ramai pada program berkenaan sebagai menyatakan bantahan seluruh umat Islam di negara ini terhadap usaha meratifasikan ICERD. – HARAKAHDAILY 15/11/2018