ICERD: PAS Pahang sahut seruan Presiden

SEGALA puji bagi Allah S.W.T, Rabb bagi sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi S.A.W serta ke atas kaum keluarganya.

Advertisement

PAS Pahang juga mengambil perhatian terhadap isu ICERD dan melihat bahawa isu ini adalah isu yang boleh merombak kestabilan keharmonian kehidupan pelbagai bangsa, kaum dan agama yang telah pun sedia terjalin di Malaysia termasuk di Negeri Pahang.

ICERD juga akan merombak asas-asas negara yang pastinya akan menggugat kestabilan negara dan Malaysia tidak sepatutnya dibingkai oleh kuasa luar dalam menguruskan negara dan tidak boleh sama sekali berlakunya satu perjanjian yang boleh mengatasi merobek Perlembagaan Negara.

PAS Pahang menolak sama sekali penggunaan ruang demokrasi yang diperalatkan untuk politik sempit pihak-pihak tertentu di atas nama kesamarataan kononnya, walhal toleransi dan keharmonian antara kaum, bangsa dan agama telah pun terjalin erat dengan Islam sebagai agama rasmi Malaysia dan Raja-raja Melayu sebagai tonggak pemerintahan Negara.

PAS Pahang menolak cadangan ratifikasi tersebut dan menyatakan dengan tegas akan kebersamaan dan sokongan kami kepada Tuan Guru Presiden PAS, para Mufti, para ulamak, seluruh umat Islam, Melayu dan seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan untuk menolak agenda ratifikasi ICERD.

PAS Pahang dengan ini bersedia sepenuhnya menyahut seruan Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang telah memberikan amaran akan menghimpunkan jutaan rakyat membantah ratifikasi ICERD, dan PAS Pahang juga akan mengerahkan ahli dan penyokong serta umat Islam agar bersama-sama dan menjadi antara jutaan tersebut.

PAS Pahang juga mengajak muslimin dan muslimat ke perhimpunan aman membantah ratifikasi ICERD di Masjid Negeri Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan pada hari jumaat, 16 november 2018, selepas solat Jumaat.

YB USTAZ ROSLI ABDUL JABAR
Pesuruhjaya PAS Pahang
Adun Tanjung Lumpur – HARAKAHDAILY 15/11/2018

FB IMG 1542264335475