Kilang masih buang sisa dalam sungai

KUALA LUMPUR: Aktiviti pembuangan bahan buangan ke dalam sungai oleh pihak kilang yang tidak bertanggungjawab masih diteruskan walaupun telah diberi amaran oleh pihak yang bertanggungjawab.

Advertisement

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man mempersoalkan pihak Kementerian bagi mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap kilang yang membuang bahan buangan seperti menggantungkan lesen daripada beroperasi.

Beliau mengemukakan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Isnaraissah Munirah Majilis @ Fakharudy di Dewan Rakyat, hari ini.

“Masih ada kilang turut melepaskan bahan buangan sehingga memusnahkan ikan yang ada dalam sungai.

“Perkara ini perlu ada tindakan tegas berhubung dengan akta, agar pihak kementerian berkuasa untuk menggantungkan lesen serta tindakan yang lain dapat diambil supaya perkara tersebut tidak berulang lagi,” katanya.

Katanya, secara peribadi beliau bertemu dengan beberapa kes berkenaan pembuangan bahan buangan itu walaupun telah diberi amaran tetapi tetap diteruskan.

Sehubungan itu, beliau berharap supaya isu pencemaran alam sekitar khususnya sungai dapat diatasi segera oleh pihak kerajaan.

Timbalan menteri itu meminta beliau untuk mengemukan isu tersebut kepada pihak kementerian untuk diadakan siasatan. – HARAKAHDAILY 15/11/2018