MP Sik senarai lapan kelemahan ketara Bajet

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2019 dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng telah mengundang banyak pertikaian dan polemik bukan sahaja dari masyarakat awam, malah juga dalam kalangan Ahli Parlimen yang telah memulakan perbahasan sejak Isnin lalu.

Advertisement

Malah, sebanyak lapan kelemahan dan pengabaian terhadap perkara penting telah disenaraikan Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS – Sik) ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan 2019 pada Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, di sini semalam.

Pertama menurut beliau, Belanjawan 2019 menunjukkan kebergantungan yang sangat tinggi kepada pendapatan Petronas dan kedua, meneruskan bajet defisit walaupun negara mempunyai hutang tinggi, manakala ketiga, tiada peruntukan khusus untuk pembangunan Pantai Timur.

Keempat katanya, tidak menunjukkan hala tuju jelas dalam pembangunan ekonomi Negara, sementara kelima, mengulangi agenda kerajaan dahulu dengan pembaharuan dan keenam kurang daya tarikan pemacu ekonomi negara.

Paling ditekankan beliau adalah kelemahan ketujuh dan kelapan, iaitu tidak ada suatu intensif yang sangat kukuh untuk membantu golongan petani, penoreh getah, nelayan dan sebagainya, juga ke arah untuk menurunkan kos hidup rakyat.

Abai golongan miskin

“Kita bertanya ke mana perginya ataupun ke mana akan diuruskan oleh kerajaan dalam bajet yang telah kita lihat jumlahnya sangat besar iaitu sebanyak RM316.55 bilion ini? Di pihak Pembangkang dan juga Kerajaan sendiri mengatakan bahawa ada yang ‘tidak kena’ dalam belanjawan kita.

“Khususnya apabila kita melihat kerajaan telah tidak lagi memberi peruntukan untuk Bantuan Musim Tengkujuh kepada pekebun kecil dan penoreh getah yang sudah pasti sangat memberi kesan kepada lebih 600,000 keluarga penoreh di seluruh negara.

“Padahal dalam Bajet 2018 yang lalu telah diperuntukkan RM261 juta untuk kita membantu penoreh getah yang terkesan akibat musim tengkujuh pada bulan November, Disember dan bulan Januari nanti,” kemukanya.

Ahmad Tarmizi turut menyentuh soal pengurangan subsidi baja padi, intensif pengeluaran padi, elaun sara hidup nelayan dan intensif hasil tangkapan ikan, serta pengurangan subsidi benih padi yang sah melibatkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Tegasnya, perkara tersebut mesti dilihat dengan serius di mana rakyat sedang menanti tindakan kerajaan untuk membantu mereka yang ketika ini berada dalam keadaan sangat susah.

Membahas lebih khusus, beliau menyentuh nasib 85 peratus penduduk Daerah Sik yang terlibat menoreh getah dan beberapa daerah lain seperti Padang Terap dan Baling, serta negeri-negeri terbabit dengan tanaman tersebut.

‘Panadol’ untuk penoreh

“Kerajaan umum Intensif Pengeluaran Getah (IPG) dengan peruntukkan RM50 juta dalam Bajet 2019 ini. Namun dalam intensif ini ia terhenti apabila harga getah sekerap berada di bawah paras RM2.20 sekilo. Kadar yang masih jauh untuk mampu menampung kehidupan penoreh-penoreh getah.

“IPG saya katakan memberi sedikit kelegaan tetapi tidak menghilangkan kehausan apatah lagi membebaskan penoreh getah daripada penderitaan. Putaran ganas kemiskinan penoreh-penoreh getah ini sehingga ada di antara mereka yang terus dalam kehimpitan kemiskinan dan kefakiran.

“Anak-anak mereka yang sangat terkesan dan mereka sudah pastilah hidup dalam kesempitan. Termasuklah mereka juga akan menghadapi musim tengkujuh di hujung tahun ini. Kebanyakan penoreh-penoreh akan berdiam dalam keadaan kepayahan kerana tidak boleh membuat apa-apa.

“Jeritan mereka tidak didengari lagi kerajaan telah menjadi pasif dan tidak menghiraukan apa yang sedang dialami oleh mereka. Harga getah yang terlalu murah tidak hanya memperosok penoreh ke hidup sukar, malah turut menyuramkan semua aktiviti sektor ekonomi yang lain seperti perniagaan, pasar malam, kedai runcit dan peniagaan yang lain.

“Ia turut merencat bayaran balik pinjaman institusi kewangan termasuk Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan TEKUN. Malah penoreh terpaksa meminjam lagi kepada AIM untuk menimbus hutang di tempat lain. Mereka terperangkap dalam putaran ganas kemiskinan,” ujar beliau.

Bentangnya, sebanyak 77 peratus penoreh getah adalah Melayu, 20 peratus Cina, 1 peratus India, 0.4 peratus Orang Asal dan 0.9 kaum-kaum yang lain, sekali gus menyaksikan orang-orang Melayu di kampung paling teruk terjejas dengan keadaan harga getah ini.

Hanya perlu RM1.6 bilion

Cadang beliau, kerajaan hanya perlu memperuntukkan RM1.6 bilion setahun dalam belanjawan negara untuk menokok RM2 bagi setiap sekilo getah sekerap yang dikeluarkan penoreh bagi menetapkan harga lantai lebih munasabah berbanding RM2.20 sekarang.

“Tidak ada sesiapa pun yang waras akal fikiran akan marah dan kecoh jika kerajaan berbelanja untuk orang-orang miskin sama ada orang Melayu, Cina, India, Orang Asal dan kaum peribumi Malaysia Timur yang menoreh getah.

“Ini bukan kes 1MDB, SRC International, derma RM2.6 bilion ataupun kapal selam ini adalah kes rakyat yang menderita,” ujarnya menuntut tindakan untuk segera ‘menyelamatkan’ golongan tersebut.

Beliau juga memohon Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk mengambil perhatian lebih berat dan kuat bagi membantu penduduk-penduduk dari golongan tersebut khususnya membaik pulih rumah-rumah rakyat yang sangat daif.

Menyentuh mengenai Negeri Kedah, beliau mahu kerajaan memberi perhatian terhadap keadaan dan kedudukan petani-petani padi dengan mengkaji semula secara lebih sistematik tanaman yang membabitkan soal keselamatan itu

Gesa beliau, kerajaan perlu meningkatkan tahap sara diri (SSL) bagi keperluan padi sehingga ke tahap lebih daripada 70 peratus yang ada pada hari ini untuk bersiap siaga menghadapi bencana di luar dan menjaga stok keperluan rakyat. – HARAKAHDAILY 15/11/2018