PTPTN: Maszlee digesa letak jawatan

KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik digesa melepaskan jawatan sebagai Menteri Pendidikan selepas gagal melunaskan janji dalam manifesto Pakatan Harapan untuk menghapuskan pinjaman PTPTN.

Advertisement

Gesaan itu disuarakan oleh badan bukan kerajaan (NGO) Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) yang mahu Maszlee berundur setelah didapati tidak berintegriti malah berbohong.

“Dr Maszlee berjanji dan bercakap tak serupa bikin dan sebagai seorang yang dah jadi menteri sepatutnya beliau lebih bersungguh dan bertanggungjawab untuk menunaikan janji beliau dan kerajaan Pakatan Harapan.

“Sebaliknya beliau tidak mengindahkan janji tersebut malah dalam Belanjawan 2019, pelajar dipaksa membayar pinjaman dengan cara potongan terus daripada bank di antara dua sehingga 15 peratus.

“Pendidikan adalah tanggungjawab kerajaan dan bukan sebagai suatu peluang perniagaan,” kata Ketua Eksekutif MAPPIM, Mohd Zai Mustafa kepada Harakahdaily.

Tegas Mohd Zai yang juga ahli jawatankuasa badan bukan kerajaan (NGO) Gerakan Pembela UMMAH, PTPTN adalah badan yang membantu pembangunan pendidikan rakyat bukan badan mengaut keuntungan.

Dalam Belanjawan 2019, Pakatan Harapan memperkenalkan pembayaran balik PTPTN melalui pemotongan dua dan 15 peratus yang terlaksana kepada peminjam berpendapatan melebihi RM1,000 sebulan.

Polisi baharu itu diperkenalkan selepas Pakatan Harapan akur gagal menunaikan janji manifesto yang membenarkan penangguhan pembayaran balik pinjaman bagi peminjam yang bergaji bulanan bawah RM4,000 bagi mengurangkan beban peminjam PTPTN.

“Pinjaman PTPTN merupakan beban besar kepada graduan muda yang baru keluar ditambah pula peluang pekerjaan yang sangat terhad dengan gaji yang minima serta kos sara hidup yang semakin tinggi.

“Mereka sudah mula berhutang sejak dari awal remaja lagi. Sebuah keluarga isi rumah berhutang PTPTN antara RM30,000 hingga RM250,000 bagi seorang anak hingga enam orang anak,” katanya.

Justeru itu, beliau menyeru peminjam PTPTN tidak meneruskan pembayaran untuk tempoh selama enam bulan bagi memenuhi janji Kerajaan Pakatan Harapan.

“Kalau anda peminjam bayar maka anda telah melanggar janji Kerajaan Pakatan Harapan untuk menghapuskan pinjaman PTPTN dalam PRU ke-14 yang lalu,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/11/2018