Sepatutnya dialog bukan edar Bible

KUALA LUMPUR: Pengedar risalah Bible diingatkan menghormati perlembagaan negara yang meletakkan Islam sebagai agama yang dilindungi di negara ini.

Advertisement

Penegasan tersebut disuarakan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berhubung tindakan beberapa individu yang didakwa mengedar kitab Bible di hadapan sebuah sekolah menengah di Pulau Pinang yang tular baru-baru ini.

“Sepatutnya pihak yang mengedar Bible perlu menghormati sensitiviti rakyat Malaysia yang masih kuat berpegang dengan agama Islam. Mereka merupakan majoriti yang dibesarkan dalam kalangan umat Islam.

“Islam dilindungi oleh perlembagaan dalam bidang kuasa negeri-negeri. Sepatutnya dialog bukan mengedar Bible. Mengapa agenda Dr Zakir Naik tidak ditonjolkan?” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Madrasah Darul Iman di Titian Baru, Marang, hari ini yang dimuat naik menerusi laman Facebook beliau.

Jelasnya, berdialog adalah langkah terbaik untuk mencari kebenaran bukannya mengedarkan bible kepada mereka yang tidak mempunyai pengetahuan agama.

Walaupun negara ini mengamalkan hak kebebasan beragama tegasnya, tetapi masih ada batasnya dengan tidak disentuh sensitiviti orang Islam begitu juga sebaliknya.

“Kita sedar walaupun ada kebebasan beragama tetap mempunyai batasan. Batasnya jangan menyentuh sentiviti orang Islam macam kita juga tidak menyentuh sentiviti oarang bukan Islam tetapi hubungan dilakukan secara terhormat iaitu dialog dengan berhujah dengan cara berilmu itu yang lebih penting.

“Masing-masing negeri ada bidang kuasa agama. Kita harap negeri-negeri mesti mengikut undang-undang negeri masing-masing yang sudah ada dalam enakmen pentadbiran agama Islam setiap negeri, di samping pihak kerajaan juga ada bidang kuasa yang tertentu,” katanya yang juga Ahli Parlimen Marang. – HARAKAHDAILY 15/11/2018