Tarik semula Belanjawan 2019

KERAJAAN Persekutuan dinasihat untuk menarik semula Belanjawan 2019. Banyak perkara melibatkan kepentingan rakyat khususnya golongan yang mudah terjejas di luar bandar tidak diperuntukkan dalam Belanjawan 2019.

Advertisement

Meskipun Belanjawan 2019 adalah belanjawan terbesar dalam sejarah dan mencatatkan peningkatan RM34.3 bilion (12.1%) berbanding anggaran peruntukan asal tahun 2018, tetapi ia tidak seimbang dan menafikan hak sebahagian rakyat yang lain.

Kementerian Industri Utama dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani masing-masing mencatatkan penurunan 46% dan 13.7%. Kedua-dua kementerian tersebut membabitkan kepentingan rakyat dalam kalangan petani, pekebun kecil, penoreh getah dan nelayan.

Sebagai contoh, tiada peruntukan untuk Bantuan Musim Tengkujuh Kepada Pekebun Kecil dan Penoreh Getah pada tahun 2019 berbanding anggaran peruntukan asal tahun 2018 berjumlah RM261 juta.

Bantuan Musim Tengkujuh melibatkan seramai 500,000 orang sepertimana yang terdapat dalam pangkalan data BMT sehingga September 2017. Jika tiada langsung peruntukan, bagaimana nasib mereka?

Sementara itu, Elaun Sara Hidup Nelayan Darat dipotong 72% daripada RM12.5 juta pada tahun 2018 kepada hanya RM3.5 juta pada tahun 2019. Subsidi Baja Padi juga telah dipotong sebanyak 50% daripada RM465 juta pada tahun 2018 kepada RM232.5 juta pada tahun 2019.

Bantuan langsung kepada golongan ini telah semakin dikurangkan sedangkan mereka tergolong dalam golongan yang perlukan perhatian khusus oleh pihak kerajaan.

Melihat kepada ketempangan Belanjawan 2019, maka Kerajaan Persekutuan perlu menarik semula dan membuat peruntukan baru khususnya kepada golongan ini. Belanjawan ini sukar ditolak kerana anggota Parlimen dari kerajaan adalah majoriti dan mereka tertakluk kepada tanggungjawab kolektif. The damage is done, cuma bagaimana untuk memulihkan keadaan tersebut. – HARAKAHDAILY 15/11/2018